Teks: Anis Sakinah Azizan
Gambar: Koleksi peribadi
Pada
22 Febuari yang lepas, saya telah mengikuti Bengkel Penulisan Novel Islami di Akademi
Must Read, Wangsa Maju Kuala Lumpur. Demi menambah pengalaman baru dalam kamus
hidup, segala payah dan halangan ketika itu saya tidak gentar untuk lalui. Ditakdirkan
dua hari sebelum hari kejadian, kaki saya terseliuh akibat jatuh katil kerana
kecuaian diri sendiri.
Perasaan
bimbang mula menghantui. Adakah ini petanda bahawa saya tidak dapat hadir ke
bengkel tersebut. Hati membuak-buak ketika itu hingga berjanji pada diri
sendiri akan tetap pergi juga walau kaki masih berbisa sakitnya. Mak pula risau
anaknya yang ingin berjalan jauh dengan kaki yang sakit. Kata saya kepada mak
bahawa saya akan tetap pergi. Ini bukan halangan Cuma ujian yang Allah ingin
saya hadapi.
Saya
mendapat greenlight daripada ustaz dan ummi di maahad untuk mengambil
cuti dalam sehari. Alhamdulillah mereka sangat memahami dan mengizinkan. Restu mak
juga bersama saya. Saya mengambil bas dari Sungai Petani dan turun di
Perhentian Puduraya. Selok-belok di Kuala Lumpur saya sudah biasa. Jadi, tiada
masalah untuk berkelana di sana. Akhirnya saya menumpang di rumah ibu saudara
di Setapak untuk bermalam di sana.
Pada
hari kejadian, saya adalah orang kedua yang datang ketika itu. Kelihatan kerusi
masih kosong tanpa peserta lain. Mungkin waktu itu masih awal. Saya mengambil
tempat paling hadapan. Setelah 20 minit berlalu, bengkel pun bermula. Saya mendengar
tiap kata yang dituturkan oleh penulis sambil menyalin di nota untuk dibuat
rumusan selepas itu. Pengalaman menarik ini ada saya kongsikan di blog TSK. Sebenarnya
terasa terlalu kerdil jika dibandingkan dengan peserta yang lain kerana
sebahagian dari mereka telahpun menulis dan mempunyai karya sendiri. Ada yang
dalam proses menyiapkan manuskrip, ada yang selalu mengisi di ruang minda
Harian Metro, cerpenis di majalah dan penulis skrip drama.
Pada
waktu tengah hari, kami dibelanja makan oleh Tuan Khairy Tajudin, seorang
penulis dan seorang guru sekolah di Changlun. Beliau juga berasal dari Kedah. Semasa
sesi makan tengahari, saya duduk berhadapan dengan Cik Nor Liyana Omar, seorang
editor yang profesional pada perkiraan saya. Dia tidak makan ketika itu,
sebaliknya menjamu kami dengan pengalamannya. Orangnya ramah dan suka melayan
kami ketika soalan diajukan kepadanya. Beliau berkongsi ilmu di meja makan
tentang dunia penulisan. Antara karya yang telah beliau sunting adalah karya
Hilal Asyraf dan Web Sutera.
Bengkel
tamat tepat pada pukul 5.00 petang, saya dan beberapa rakan peserta lain mengambil
LRT di Wangsa Maju untuk ke destinasi masing-masing. Memandangkan waktu masih
awal, saya sempat berkelana di Masjid Jamek untuk mencuci mata. Kemudian berangkat
pulang ke Sungai Petani pada pukul 9.30 malam. Begitulah penceritaan pengalaman
yang dapat saya kongsikan di sini. Pesan saya kepada orang lain jika mahukan
sesuatu niatlah di dalam hati, kerana niat yang baik pasti Allah makbulkan. Hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Bestnya..As pun teringin gak nak ambil bengkel penulisan macam ni..tapi bila sampai masanya selalu saja ada halangan..
ReplyDeleteto Kak As: Anis pun gagah juga ni pergi sebab time itu ada masa...
ReplyDelete