Teks: Anis sakinah Azizan
Foto: Koleksi peribadi
Kelmarin.
Saya keluar bersama teman sekolah lama, Syahidah.
Dia pelajar
lulusan Bahasa Arab dari Jordan, setelah tiga tahun di sana kini dia
melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana pula di Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIA) dalam bidang yang sama. Dia adalah sahabat yang
pertama saya akan rujuk bilamana mengalami kebuntuan dan kurang pengetahuan
berkaitan bahasa arab khususnya.
Saya pernah meminta dia belikan buku tajwid keluaran
Jordan untuk saya rujuk dan simpan sebagai koleksi peribadi. Alhamdulillah,
buku tajwid tersebut saya gunakan ketika saya di Maahad.
Semasa sedang menikmati makan tengahari di Seoul
Garden semalam, kami telah mencetuskan perbualan mengenai masa depan. Tiba-tiba
soalan yang keluar dari mulut Syahidah buat saya terpaku. Kaku, di atas bangku.
Minda mula menghadam tiap katanya. Saya hanya sempat tersenyum tanpa kata.
“ Tak mahu sambung belajarkah?” kata Syahidah.
Itulah soalannya.
Saya ketika itu kurang pasti apa jawapan yang sesuai
hendak khabarkan. Jawapan saya adalah rahsia. Saya ada sesuatu yang tersimpan
di dalam hati, biarlah cita-cita tercapai dahulu barulah saya berani katakan
bahawa inilah yang saya impikan. Suatu hari nanti. Tapi, jawapan itu belum
pasti, maka nanti saja saya katakan. Saya pernah usulkan kepada mak untuk
sambung belajar ke peringkat master, namun mak hanya mendiamkan diri. Riak
wajahnya sudah memberi jawapan. Usahlah saya bertanya lagi. Dengan keadaan
ekonomi sekarang, biarlah saya mencari sumber kewangan sendiri tanpa
membebankannya lagi.
Namun, apa yang menjadi keutamaan saya di sini adalah
untuk mencerita tentang huruf dhod. Ya, huruf dhod yang susah hendak kita sebut
dengan makhraj yang betul. Kata Syahidah dalam keramahannya bersembang, dia
menceritakan bahawa dia pernah ditegur oleh seorang syeikh dalam bidang
al-quran semasa di Jordan tentang sebutan huruf dhodnya. Tiga kali
syeikh tersebut meminta dia mengulang sebut huruf dhod dalam surah Al-Baqarah
yang saya tidak pasti ayat yang di mana.
Tanya Syahidah pula kepada saya:
“bagaimana kamu menyebut huruf dhod?
“Lidah kamu mengena atau tidak ke gigi?
“dan kalau lidah mengenakan pada gigi..lidah kamu
menghala ke kanan atau ke kiri?
Saya ketika itu mula membuat eksperimen. Terkial-kial
lidah membunyikan huruf tersebut dan mencari ke arah mana lidah menghala. Kanan
atau kiri.
Lidah ini ke kanan atau ke kiri. Itu susah saya nak
yakinkan pada diri. Tapi yang pentingnya, lidah mestilah menyentuh gigi. Tidak
kisah arah kanan atau kiri. Bagi sahabat saya, dia lebih selesa menggerakkan lidah
ke arah kiri. Dan saya pula ke arah kanan. Penting mengetahui makhraj huruf
dengan betul. Tambah-tambah dalam surah Al-fatihah yang wajib kita baca di
dalam solat juga terkandung huruf dhod.
Pesan Syahidah kepada saya agar rujuk kembali buku
tajwid yang dibelinya untuk saya. Di dalam buku itu ada menunjukkan gambar
rajah tentang makhraj huruf.
Di sekolah dulu, kami sama-sama satu kelas al-quran.
Kami berguru dengan Ustazah Norison. Beliau seorang yang garang tetapi baik
hati. Alhamdulillah, banyak ilmu yang kami perolehi darinya. Apabila
mengenangkan detik berdiri di dalam kelas hafazan al-quran kerana lambat
menghafal ayat baru buat saya senyum sendiri. Pahit manis dalam pembelajaran
dahulu memberi kesan yang positif dalam diri. Terima kasih ustazah atas
ilmunya!
Ini adalah catatan sehari yang lepas.
Hanya mencatat di dalam minda sebelum menulis di sini.
No comments:
Post a Comment