Saturday, 10 May 2014

Menulis Itu Ibadah

“Anis, menulis itu ibadah.”

Itulah kata yang dicoretkan oleh Tuan Bahruddin Bekri di muka hadapan buku Penulis yang Disayangi Tuhan sebelum ditandatanganinya. Tapi berapa ramai yang menulis kerana Allah? Dan tahniah buat mereka yang meletakkan Allah sebagai matlamat utama untuk menulis. Saya juga pernah ditanya, “kamu menulis kerana apa, siapa, dan kenapa?”

         Sungguh, waktu itu saya belum punya apa-apa jawapan. Jelaslah kini, mengapa saya selalu sahaja kurang praktis untuk menulis. Dalam erti kata lain, malas untuk menulis walaupun tahu benar musuh utama menulis itu adalah malas. Kerana apa? Sebab matlamat tidak jelas. Tidak meletakkan Allah sebagai tujuan utama. Selepas saya membaca buku karangan Tuan BB, saya faham kesemua isi yang tersirat dan tersurat di dalamnya. Saya memuji novel ini walaupun pada mulanya saya kurang faham jalan ceritanya hinggakan saya hampir saja tidak ingin membacanya. Rupanya, saya harus bersabar ketika membaca, umpama menyelam ke dasar laut yang dalam untuk menemui mutiara yang berharga. Begitulah, saya memaksa diri untuk membaca dan akhirnya, saya dapat lebih dari itu.

            Selepas berbengkel tempoh lalu, alumni-alumni bengkel mewujudkan satu group sokongan yang diberi nama singkatannya sebagai KKS. Saya diberitahu oleh Tuan BB tentang group itu lantas dimasukkan sebagai ahli KKS yang akan bersama-sama bergerak secara berpasukan untuk menulis cerpen. Antologi cerpen ini bakal diterbitkan secara E-Novel oleh PTS dan dapat diakses melalui Google Play Store. insyaAllah, saya turut menyumbang sebuah cerpen untuk E-Novel KKS untuk siri yang ketiga. Projek ini akan berterusan selama mana mungkin. Inilah langkah pertama untuk saya maju setapak di dalam bidang penulisan. Terima kasih atas peluang itu.

            Saya ada penyakit rendah diri yang sangat dalam. Hal itu selalu sahaja membebankan minda saya. Bukanlah kerana bimbang dikritik atau ditegur. Cumanya, rasa seperti ingin melahirkan anak sahaja. Walaupun saya tidak tahu rasa yang sebenar itu bagaimana. Rasa yang buat saya takut-takut. Itulah rasanya selepas saya menghantar karya pertama itu kepada editor KKS. Akhirnya selepas menghantar di emel terus saya memejamkan mata, tidur. Moga-moga dengan harapan bangun dari tidur esok pagi rasa itu sudah hilang. Berada bersama ahli alumni yang lain juga buat saya merendah diri. Saya ini apa yang ada, sedangkan yang lain sudah lama berjinak dalam bidang ini.

            Sebenarnya saya rindu dengan Kak Siti Khadijah Diana. Dia rakan satu kelas penulisan online bersama saya. Oh ya, nanti dia akan baca juga post saya ini. “Kak, ke mana menghilang?” Dah lama tak borak-borak di FB tanyakan pendapatnya tentang penulisan. Saya yakin, dia menyepi seketika untuk selesaikan satu tugasan atau tanggungjawabnya. Mungkin sedang menumpukan sepenuh perhatian pada novel keduanya. Beliau juga teman berbual saya untuk memberi semangat saat saya kebuntuan. Moga-moga dia sihat dan berada di dalam perlindungan Allah.

            Buat guru online saya, Puan Mazlia Murat yang kini sudah menimang cahaya mata yang comel, terima kasih atas tunjuk ajar. Maafkan saya kerana masih terbengkalai dalam menyiapkan tugasan dan kurang memeriahkan blog ini. Doakan saya terus maju serta yakinkan saya bahawa saya tidak tersalah langkah untuk terjun dalam bidang ini.

            Kata orang, apa yang kita minat tidak semestinya itu yang kita perlu. Saya berharap sangat agar tanggapan itu tidak seratus peratus benar. Mungkin Allah mahu saya terus belajar lagi. Kini saya sedar, menulis juga bukan sesuatu yang mudah. Saya kagumi mereka yang telah menghasilkan karya sendiri. Dalam hati tak putus-putus menyoal, bagaimana mereka boleh menghasilkan novel?

            Menulis cerpen atau novel tidak sama seperti mengupdate status di facebook, huhu. Itu saya akui. Untuk mengemaskini status di facebook, pantas saja jari ini, tambah-tambah bila idea tengah mengalir. Terus saya menulis di dinding facebook. Dari situ, ada yang menyangka saya akan dapat membuat cerpen yang baik dek kerana mereka membaca status fb saya. Wahal, sangat bertentangan. Rasa perit bila tidak selalu berlatih menulis. Apabila diberi due date untuk menghantar cerpen, kelam kabut saya siapkan. Dapat last minute sebabnya saya ketinggalan mengikuti kumpulan sokongan itu. Kerana keperihatinan Tuan BB, saya sempat berada di situ. Umpama baru hendak naik kapal, sedangkan kapal itu hampir sahaja mahu bergerak ke destinasinya. Huh,berpeluh. Namun saya bersyukur atas peluang itu. Saya harap, dapat berlayar bersama-sama ke tengah lautan penulisan.

            Kembali semula ke tajuk asal. Seperti yang saya ingin tekankan di sini. Menulislah, kerana ianya satu bentuk ibadah. Satu cabang dakwah, dakwah bil maqal.






Wednesday, 2 April 2014

Kembara Ilmu: Bengkel Penulisan Cerpen Bahruddin Bekri

Teks: Anis Sakinah Azizan
Gambar: Koleksi peribadi


Sekali lagi kaki ini menapak ke Wangsa Melawati, jika dulu di Jalan Wangsa Setia 1 untuk ke Akademi MUSTREAD, kali ini saya ke Jalan Wangsa Setia 3 untuk ke Akademi FINE. Inilah jejak-jejak ilmu yang tidak hanya berakhir selagi hayat di kandung badan. Tujuannya hanya satu, menimba ilmu dan mengumpul pengalaman.

 Bengkel kali ini dianjurkan oleh tim Kursuspenulisan.com di bawah naungan Tuan Z amri Mohamad, seorang penulis dan trainer penulisan. Jika dulu keinginan saya untuk mengikuti Bengkel penulisan Novel di bawah program tim ini tidak kesampaian, namun ia tetap tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba lagi di lain kali. Alhamdulillah, trainer jemputan pula adalah penulis kesayangan saya iaitu Tuan Baharuddin Bekri. Saya antara ribuan peminat tegarnya.

Sudah lama mengenali penulis Bahruddin Bekri dengan mengikuti perkembangan karyanya dan alhamdulillah baru kini dapat bertemu secara dekat dengan beliau. Orangnya nampak tenang dan lucu saya kira. Manakan tidak, semua peserta bengkel tidak kering gusi mendengar kata-kata yang berbaur jenaka selambanya. Sebelum ini, saya hanya tersengih dan ketawa seorang diri membaca buku-bukunya yang diselitkan dengan unsur komedi malah semasa bengkel saya juga turut pecah ketawa mendengar ucapannya yang beraksi di hadapan para peserta.

Adab menimba ilmu itu adalah dengan berguru. Cari ilmu dengan guru atau yang pakar ke atas ilmu yang ingin kita pelajari sebelum kita bisa menguasainya. Ya sebilangan orang mengatakan; buat apalah pergi ke bengkel jika ingin menulis, orang yang pandai menulis pun tidak pergi ke bengkel penulisan. Setelah saya berbengkel, saya sudah bertemu jawapan untuk soalan itu jika ia diajukan lagi. Begini jawapannya, yang 70 peratus itu datangnya dari dalam diri kita sendiri iaitu  usaha dengan rajin dalam bidang penulisan dan 30 peratus lagi itulah datangnya dengan kita mengikuti bengkel seperti ini.

Apa itu CERPEN?

Istilahnya pasti semua orang tahu bukan? CERITA + PENDEK= CERPEN

Cerpen itu bagaimana?

Kata Tuan Bahruddin Bekri, cerpen itu adalah suatu konflik yang indah. Cerpen itu hanya mempunyai:

      1)     Satu plot sahaja
2)      Satu jalan cerita
3)      Watak terhad
4)      Latar masa terhad
5)      Latar tempat terhad
6)      Konflik yang padat lagi indah.

Cerpen bergerak melalui watak dan situasi. Selain itu juga, kandungan di dalam cerpen perlulah mengandungi matlamat yang ingin disampaikan di dalam cerpen, konflik yang ingin di ketengahkan dan perlu mempunyai twist di akhir penyelesaiannya, barulah cerpen itu tampak menarik di mata para pembaca.

Tujuan kita menulis sebenarnya bukanlah kerana ingin menjadi popular. Tetapi meletakkan tujuan utama sebagai mengubat hati dan melegakannya di mana beroleh pengajaran dari apa yang kita tulis. Seterusnya ke peringkat yang lebih mulia iaitu dengan niat ingin berdakwah. Wang, anugerah dan popular itu hanya nilai tambah dalam hidup seorang penulis.

Selain dibekalkan dengan nota-nota penulisan cerpen, bengkel yang dikendalikan ini juga turut membawa para pesertanya mempraktik apa yang telah diajar secara teori. Itulah antara momen indah yang saya dapat. Pertamanya, dapat mempraktik secara langsung apa yang telah diberi dan keduanya menghubungkan silatulrahim di antara peserta. Di situlah bermulanya titik-titik perkenalan antara peserta untuk sama-sama berkongsi idea, pengalaman dan maklumat diri.


Bengkel yang bermula pada tepat pukul 9.00 pagi melabuhkan tirainya pada pukul 5.30 petang. Sebelum bergerak pulang, peserta bengkel mencuri peluang untuk bergambar kenangan bersama Tuan Baha. Kata Tuan Baha yang sentiasa diulang-ulangnya adalah TULIS SAMPAI SIAP! Jadi, marilah berusaha!




-Bengkel Penulisan Cerpen
30 Mac 2014



Saturday, 15 March 2014

MH370... cepat pulang ke sini.

Teks: Anis Sakinah Azizan
Gambar: Facebook



Seminggu sebelum…

“Izzah, boleh kita berbual sekejap?” Aku menelefon teman karibku. Entah mengapa hati rasa seperti resah dan gelisah. Lalu dia menjadi sandaranku untuk diluahkan.

“Lama aku tidak mendengar cerita tentang kau walaupun baru dua hari tidak berbual di telefon.” Izzah ketawa kecil di telefon.

“Begini, kau ada berhubung dengan Zed?” Aku segan untuk menanyakan soalan itu, tetapi disebabkan ingatan aku terhadap Zed aku gagahkan juga bertanya pada Izzah.

Izzah membalas, “Ada juga semalam, kenapa?”

“Tak ada apa, Cuma aku tiba-tiba teringatkan dia, nak hantar mesej pun aku segan.” Sebenarnya aku cuba sembunyikan keegoaan aku.

“Yana, bagi aku tak salah jika kau teringatkan dia, kita kan kawan. Janganlah disebabkan ego, kau jadi begini. Sekurang-kurangnya mesejlah dia tanya khabar sementara orang itu masih ada di sini. Hargai masa yang ada.” Izzah memberi pesan padaku.

Aku menamatkan perbualan aku dengan Izzah. Setelah mendengar kata-katanya. Ego yang aku dukung selama ini aku runtuhkan sedikit demi sedikit. Aku tahu Zed juga pasti hairan dengan sikapku yang seolah-olah cuba menghilangkan diri. Itulah ego seorang perempuan.

Perbualan aku dengan Izzah membuat aku bertambah yakin untuk menaip mesej kepada Zed. Betul katanya. Tapi, kenapa Izzah kata seperti itu. Sementara dia masih ada di sini? Zed mahu ke mana?

Aku ditindih soalan.

Aku dengan Zed agak rapat kerana kami saling bekerjasama di dalam kelab dahulu. Apabila tamat belajar, masing-masing telah membawa diri. Cuma ingatan dan kenangan masa lalu yang kian menghubungkan tali persahabatan kami. Ada sedikit perselisihan faham di antara kami yang membuatkan ego aku menebal dan jauh hati dengan Zed. Lalu, hubungan kami menjadi tegang. Aku menunggu mesej dari dia dan dia menunggu mesej dari aku. Begitulah yang diceritakan Izzah padaku. Masing-masing ego.

Tiga hari sebelum…

Hari ini aku menaip mesej kepada Zed. Berdebar-debar rasa. Agak lama kami tidak berhubung. Kami saling berbalas mesej. Harapan aku dan Izzah agar Zed dapat turun semasa majlis konvokesyen kami nanti. Bolehlah lepak-lepak macam dulu dengan yang lain. Segala pelan telah diatur. Aku sudah berangan-angan untuk menyusun program dengan Zed. Tinggal sebulan sahaja lagi untuk merealisasikannya. Alangkah seronoknya, jika semua dapat turun bersama, aku, Izzah, Zed, Wan dan Cempaka. Tiba-tiba, Zed kejutkan aku dengan mesejnya.

“Aku sebenarnya tak dapat turun untuk majlis konvokesyen korang nanti.”

Hati aku senak seketika. Aku terdiam membaca mesej tersebut. Cepat-cepat aku bersorak kembali.

“Kenapa?” aku terus menyoal.

“Aku akan ke Beijing dua hari lagi, untuk meneruskan pengajian di Tianjin Foreign Studies University. Aku terpilih selepas menghadiri sesi temuduga yang dianjurkan oleh pihak universiti untuk ke sana. Maafkan aku sebab tidak beritahu kau awal-awal.”

“Betulkah Zed?” Aku terus menyoal untuk memastikannya.

“Ya, betul Yana. Aku tidak bergurau dengan kau.”

“Sebenarnya, aku tidak tahu nak cakap apa, apa-apapun tahniah!” Riak muka aku menjadi kelat, hati aku bungkam. Terputus kata untuk membalas mesej Zed.

“Aku juga tidak tahu nak kata apa pada kau Yana.” Mungkin Zed sedang memahami perasaan aku saat itu.

Baru kini, aku faham apa maksud Izzah tempoh hari. Rupanya Izzah sudah tahu terlebih dahulu dari aku, Cuma dia mahu Zed beritahu aku sendiri. Tinggal dua hari sahaja lagi. Rasa kesal kerana sebelum ini aku mempertahankan ego aku untuk menghilangkan diri dari Zed. Zed tahu aku marah dengannya. Jadi, dia hanya menunggu aku menyapanya terlebih dulu.

Dua hari sebelum…

Masa yang berbaki dua hari aku tekad untuk mengetahui perkembangan Zed. Dia sedang menjalani kursus sebelum ke sana. Kami sempat berseloroh di ruang mesej.

“Doakan aku lekat ilmu di sana!” Zed meminta aku berdoa untuk dia. Tidak pernah dia begitu. Aku tersenyum sendiri.

Aku terus menaip mesej. “Dah jadi orang hebat nanti, jangan lupakan aku pulak, kalau kau masih ingat ayat itu." 

Itulah ayat yang aku pernah katakan pada Zed semasa di perpustakaan. Entah mengapa, sejak hari pertama melihat dia, aku rasa dia orang yang hebat.

“Ayat itu aku ingat, tapi hebat yang kau katakan itu aku tidak tahulah hebat yang macam mana.” Zed ketawa.

Hari kejadian…

Zed pesan padaku semalam supaya tidak bersedih seperti mana aku bersedih semasa kami mengadakan majlis perpisahan tempoh lalu di kolej aku. Tempoh setahun bukannya lama. Pejam celik pejam celik cukup setahun.

“Kau jangan nak menangis segala. Lakonan saja tu.” Zed memang selalu menyakat aku.

Aku tidak dapat mengiringi perjalanannya ke lapangan terbang kerana jarak kami yang  jauh. Hanya Khidmat pesanan ringkas yang menghubungkan kami.

“Jaga diri!” ringkas pesanan dia pada aku sebelum berlepas pagi itu. Dia bakal berlepas dengan pesawat MH 370 dari Kuala Lumpur ke Beijing. Gembira melihat dia bakal berkelana di sana. Rezeki dia di tempat orang dan yang paling seronok segala aktiviti panjat-memanjat Zed bolehlah diteruskan di sana, pasti tembok besar China itu ditawannya.

“Aku pergi dulu. Jaga diri.” Zed sekali lagi memesan padaku.

Keesokan hari…

Aku bangun dari tidur. Terkejut dengar bunyi mesej di telefon. Nama Izzah tertera di skrin inbox message.

“Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan bahawa pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi tadi. Pesawat yang membawa penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing. Cepat buka facebook, aku nampak nama Zed tersenarai di situ."

Aku tatap mesej dari Izzah penuh rasa cuak, berdebar dan risau yang bergelora panjang.

Pada saat itu, tiada kata yang lebih besar melainkan mengucap panjang dan menyebut nama Allah. Aku tampar pipi berkali-kali supaya aku tidak bermimpi. 

Terkebil-kebil anak mata menghidupkan laptop. Ternyata satu dunia sedang hangat membicarakan tentang MH370. Di satu kenyataan media, aku lihat nama Zed tersenarai di situ. Itulah pesawat yang dinaiki Zed semalam.

Jantung aku rasa seperti nak terkeluar dari badan. Setitis demi setitis air mata menuruni di celah pipiku. Ya, Allah. Besar ujian ini untuk aku, apatah lagi buat kaum keluarganya.

"Sahabat, khabarkan tentang keberadaanmu di mana." Aku terus menerus mengharap dan berdoa agar Allah memudahkan urusan pencarian pesawat yang hilang itu.

 “Maafkan aku sebab hilangkan layang-layang kau dahulu, tapi janganlah kau pula yang hilang saat kau terbang ke langit.” Aku mengesat tangis. 

Pagi itu aku diselubungi kesedihan. Matahari pula sudah mula membakar. Heningnya buat aku bertambah muram. Zed pernah pesan pada kami. Katanya, "Harapan itu sentiasa ada seperti mana terbitnya matahari pada setiap pagi, selagi matahari terbit, selagi itu harapan itu masih ada."

Begitulah harapan aku pada Zed. Sama seperti terbitnya matahari di setiap pagi.

Aku duduk di atas kerusi di hadapan rumah. Kertas putih yang berada di atas meja aku capai lalu menulis sesuatu.

Pesanmu padaku janganlah berduka, jangan menangis bilaku tiada…
Aku mencuba…
MH370 cepat kembali, bawa Zed pulang.

Kertas dilipat-lipat menjadi kapal terbang kertas. Aku baling sekuat hati.

“Zed… kau hebat, sebab itu Allah pilih kau untuk perkara yang hebat. Ujian kau juga  hebat. Itulah kehebatan kau yang kau tanya pada aku.” Aku terus melihat langit pagi itu.


“Sebenarnya, ada sesuatu yang hendak aku katakan…”

Thursday, 6 March 2014

Doa untuk mak

Pagi itu mak dan adik bersiap-siap untuk menghantar saya ke tempat kerja. Disebabkan adik mahu guna motorsikal, saya terpaksa mengalah dengannya dan meminta mak menghantar saya ke maahad. Bergeraklah kami bertiga dengan menaiki van rusa berwarna maroon. Hari itu, mak tidak berniaga kerana ingin selesaikan urusan penting.

Sebelum mak menghantar saya, kami singgah di tempat yang mana mak mahu selesaikan urusannya. Saya hanya menunggu di luar pejabat. Mak dan adik sahaja yang masuk ke dalam pejabat.

Beberapa minit berlalu, mak melangkah keluar dengan laju. Adik mengekorinya di belakang. Saya bingkas bangun dan mengekori mereka.

Di dalam van, mak melempiaskan kerisauannya kepada kami. Saya hanya mendengar tiap kata yang terluah dari mulut mak.
Apabila sampai di hadapan pintu maahad, saya menghulur tangan untuk bersalam dengan mak. Tangannya saya cium.

Sebelum pintu van dibuka dan kaki saya memijak tanah. Mak bersuara.

“Doakan untuk mak.”

Saya senyum dan angguk.

Saya tahu resahnya bagaimana. Jiwa ini cukup memahami.

“Semoga Allah mudahkan urusan mak.”

Jika sebelum ini hanya ungkapan tersebut yang selalu saya minta mak doakan untuk saya. Tapi kali ini hati saya betul-betul tersentuh.


“Doa untuk mak.”

Monday, 24 February 2014

Bengkel Penulisan

Teks: Anis Sakinah Azizan
Gambar: Koleksi peribadi



Pada 22 Febuari yang lepas, saya telah mengikuti Bengkel Penulisan Novel Islami di Akademi Must Read, Wangsa Maju Kuala Lumpur. Demi menambah pengalaman baru dalam kamus hidup, segala payah dan halangan ketika itu saya tidak gentar untuk lalui. Ditakdirkan dua hari sebelum hari kejadian, kaki saya terseliuh akibat jatuh katil kerana kecuaian diri sendiri.

Perasaan bimbang mula menghantui. Adakah ini petanda bahawa saya tidak dapat hadir ke bengkel tersebut. Hati membuak-buak ketika itu hingga berjanji pada diri sendiri akan tetap pergi juga walau kaki masih berbisa sakitnya. Mak pula risau anaknya yang ingin berjalan jauh dengan kaki yang sakit. Kata saya kepada mak bahawa saya akan tetap pergi. Ini bukan halangan Cuma ujian yang Allah ingin saya hadapi.

Saya mendapat greenlight daripada ustaz dan ummi di maahad untuk mengambil cuti dalam sehari. Alhamdulillah mereka sangat memahami dan mengizinkan. Restu mak juga bersama saya. Saya mengambil bas dari Sungai Petani dan turun di Perhentian Puduraya. Selok-belok di Kuala Lumpur saya sudah biasa. Jadi, tiada masalah untuk berkelana di sana. Akhirnya saya menumpang di rumah ibu saudara di Setapak untuk bermalam di sana.

Pada hari kejadian, saya adalah orang kedua yang datang ketika itu. Kelihatan kerusi masih kosong tanpa peserta lain. Mungkin waktu itu masih awal. Saya mengambil tempat paling hadapan. Setelah 20 minit berlalu, bengkel pun bermula. Saya mendengar tiap kata yang dituturkan oleh penulis sambil menyalin di nota untuk dibuat rumusan selepas itu. Pengalaman menarik ini ada saya kongsikan di blog TSK. Sebenarnya terasa terlalu kerdil jika dibandingkan dengan peserta yang lain kerana sebahagian dari mereka telahpun menulis dan mempunyai karya sendiri. Ada yang dalam proses menyiapkan manuskrip, ada yang selalu mengisi di ruang minda Harian Metro, cerpenis di majalah dan penulis skrip drama.

Pada waktu tengah hari, kami dibelanja makan oleh Tuan Khairy Tajudin, seorang penulis dan seorang guru sekolah di Changlun. Beliau juga berasal dari Kedah. Semasa sesi makan tengahari, saya duduk berhadapan dengan Cik Nor Liyana Omar, seorang editor yang profesional pada perkiraan saya. Dia tidak makan ketika itu, sebaliknya menjamu kami dengan pengalamannya. Orangnya ramah dan suka melayan kami ketika soalan diajukan kepadanya. Beliau berkongsi ilmu di meja makan tentang dunia penulisan. Antara karya yang telah beliau sunting adalah karya Hilal Asyraf dan Web Sutera.


Bengkel tamat tepat pada pukul 5.00 petang, saya dan beberapa rakan peserta lain mengambil LRT di Wangsa Maju untuk ke destinasi masing-masing. Memandangkan waktu masih awal, saya sempat berkelana di Masjid Jamek untuk mencuci mata. Kemudian berangkat pulang ke Sungai Petani pada pukul 9.30 malam. Begitulah penceritaan pengalaman yang dapat saya kongsikan di sini. Pesan saya kepada orang lain jika mahukan sesuatu niatlah di dalam hati, kerana niat yang baik pasti Allah makbulkan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Friday, 14 February 2014

Masa depan dan hutang

Hari ini hari sabtu. Cuti. Jadi, saya berehat di rumah sebelum balik ke maahad. Disebabkan lapangnya pada masa ini, saya meneruskan sesi menulis diari ini. Sepatutnya, cerita yang hendak ditulis ini ditulis dua hari yang lepas. Selepas kelas hafalan tamat semasa itu.

Sedang menunggu mereka datang menghafal di hadapan saya. Sempat juga saya berfikir.  Seorang demi seorang saya perhatikan. Masing-masing punya keistimewaanya tersendiri. Ada yang pandai melukis, menulis khat, mengalun ayat suci dengan baik sekali, rajin mengemas rumah dan mewarna sekalipun. Saya percaya setiap dalam diri mereka ada bakat yang tidak ditonjolkan. Masih malu-malu kucing. Tambah-tambah semasa ingin berlatih qasidah dan nasyid. Hanya dua tiga orang sahaja yang mengeluarkan suara dengan nada yang sepatutnya. Selebihnya, masih di tahap kanak-kanak yang malu tapi mahu.

Jika mereka ada keistimewaan membaca hati manusia. Pasti apa yang terdetik di hati waktu ini mereka dapat agak. Baiklah! Bukan mereka, walau salah seorang dari mereka pun. Setakat ini, saya rasa tidak ada. Jadi, saya selamat untuk bermonolog dalaman.

Bila memandang anak-anak yang semakin meningkat keremajaan ini, yang saya anggap sebagai adik-beradik, saya ingin sekali tahu apakah corak masa depan mereka nanti? Pasti lebih baik dari saya yang banyak dosa ini. Saya ini yang ingin sekali tahu tentang masa depan mereka itu nanti, masa depan diri sendiri sudahkah saya juga tahu masa depan saya nanti bagaimana. Hari-hari saya berfikir tentang masa depan sampai gugur rambut, walaupun memang hari-hari rambut saya akan selalu ada yang gugur.

Semalam. Dapat mesej dari kawan satu universiti. Kawan yang pernah saya merembeskan resah dan sedih saya kepadanya. Berasal dari Kelantan yang kini bekerja di salah sebuah syarikat produksi nasyid yang terkenal di ibu kota Kuala lumpur. Namanya Cik Mimpi (maksud namanya). Cik Mimpi bertanyakan saya tentang perkara yang saya langsung tidak terfikir buat masa itu. Katanya, hutang dah mula bayarkah?

Saya memang lupa atau buat-buat lupa. Oh tidak! Hutang PTPTN yang masih belum mula bayar. Kesian dia. Terpaksa dengar keluhan saya yang agak membosankan.

Saya ini kerjanya tidak berpangkat apatah lagi gaji beribu-raban. Kalau adapun cukup-cukup makan sahaja. Kerja sebagai Ustazah Warden yang mengerti benar posisinya bagaimana. Jika diberi lebih, lebihlah upahnya. Jika kurang tetap juga terima.

Oleh itu, saya tidak berminat lagi untuk berfikir tentang hutang PTPTN walaupun saya tahu hukum tidak membayar hutang itu bagaimana.

Ayat paling panjang sekali dalam al-Quran ialah dari surah al-Baqarah yang menerangkan tentang hutang. Panjang lebar Allah cerita tentang hutang. Dan ayat ini juga salah seorang pelajar di sini agak lambat untuk menghafalnya. Kerana panjangnya ayat ini. Satu muka surat. Tetapi lagi senang menghafal ayat itu dari membayar hutang yang berpuluh ribu itu.

Tapi, jika dengan hafal ayat tentang hutang pun, itu bukan caranya untuk saya selesaikan hutang PTPTN walaupun ayat itu telah lama saya hafal. Ayat ini dijadikan panduan. Sekiranya berhutang, apa yang yang sepatutnya perlu dilakukan.

Saya berdoa pada Allah agar diberi kesempatan untuk bayar semua hutang di dunia sebelum menuju ke barzakh.

Saya menghentikan lamunan kerana ada pelajar yang datang untuk tasmi’.

Dan jodoh saya dengan ayat tentang hutang itu sangat kuat. Adik ini datang dan menghafal ayat 282 dari surah al-Baqarah.

Saya meneliti tiap bacaanya dan membaca maksud ayat itu.


Tuesday, 11 February 2014

Dia Yang Sentiasa Tersenyum

Teks: Anis Sakinah Azizan 
Gambar: Google


Dia.

Yang berada di hadapan saya semasa di dalam kelas sentiasa tersenyum. Raut wajahnya yang manis dan berlesung pipit di pipi kirinya.

Hari ini wajah saya masam mencuka, emosi terumbang-ambing. Mungkin kerana kondisi kesihatan yang kurang baik. Demam panas.

Dia juga seorang yang tidak pernah melempar senyuman tawar. Pasti tersenyum manis. Gaya sengihannya tersendiri. Hidup seperti tiada duka.
Wajah saya yang kelat bertukar normal apabila terpandang senyumannya yang  jelas menampakkan sebaris gigi putih.

Dia pandang saya. Saya memandangnya kembali.

Hari itu, hari yang saya anggap hari kesedihannya. Ayahnya telah pergi menghadap Ilahi kerana menghidap penyakit kencing manis. Dia kembali semula kepada kami, selepas saya bertanya tentang khabar keluarganya, dia hanya tersengih. Langsung tiada riak sedih di wajahnya. Saya hanya mendiamkan diri dari bertanya lagi. Pernah juga hati saya berbisik, dia ini tidak ada rasa sedihkah? ya, mungkin dia juga turut bersedih dengan apa yang dilaluinya. Namun, tidaklah dia membiaskan kesedihan di wajahnya.

Sebenarnya, saya sedang menulis perihal dia di hadapannya tanpa dia tahu. Dia hanya tahu senyum dan tersengih bila memandang saya sambil mulutnya menghafal surah Al- Baqarah.

Sedang otak saya ligat memikirkan apa yang perlu ditulis lagi di dalam diari ini, saya terpandang dia. Dan seperti biasa dia tunjukkan tingkah laku yang sama.
Saya tewas dengan riak wajahnya kerana ketika ini wajah saya masam mencuka.
Terima kasih kepada dia yang telah memberi saya erti suka dalam duka. Bahagia dalam derita. Pahit dalam manis.


Akhirnya saya tersenyum membalas senyumannya.