Google+ Followers

Wednesday, 20 August 2014

Bagai Layang-Layang

Teks: Anis Sakinah Azizan

Aleya adalah perempuan biasa dan seperti kebanyakkan gadis seusianya yang ingin dicintai dan mencintai. Perempuan yang selalu ingin menari-nari di sebalik awan putih dan menyanyikan lagu-lagu cinta di hatinya. Cinta pertama yang melekat di hatinya semakin hari membuatkan dia terjelempuk di dalam gudang rasa yang luas. Aku mengenalinya dengan rapat sekali. Ketika kami sama-sama belajar di universiti dahulu. Orangnya manis dan ceria. Kisah cintanya disaksikan sendiri oleh aku walaupun berkali-kali Aleya memarahi aku dan mengatakan bahawa jangan dibilang itu adalah cinta kerana dia tidak bercinta dan tidak dicintai. Hanya mencintai seseorang dalam diam.

Zed, teman sekuliah aku yang telah mencuri hati Aleya secara tidak sengaja. Kami berkawan rapat. Aleya mengenali Zed melalui aku. Memang tidak dinafikan bahawa Zed mempunyai cirri-ciri lelaki yang bagus untuk dijadikan calon suami. Daya tarikannya menyebabkan ramai gadis menaruh harapan yang sama kepadanya.

Kemunculan Zed dalam hidup Aleya sangat memberi makna dan menyinari hari-harinya. Rasa yang terpendam sentiasa menyala-nyala dalam hati Aleya. Namun, cepat-cepat dia padam apabila berhadapan dengan Zed. Bimbang Zed mencium bauan cinta di hatinya.

Suatu petang yang indah. Ketika langit luas terbentang meniup angin, Aleya dan aku sudah terpajak berdiri di atas hamparan hijau yang luas. Kami ke Pesta Layang-layang di Putrajaya. Akhirnya janji yang dibuat seminggu yang lalu terlaksana pada petang itu.

Para pemain mengulung-gulung benang sambil memerhati ke atas langit biru. Sesekali terbelit. Ada juga yang terlepas dari tangan. Aleya mendonggak ke angkasa melihat sarwa langit  yang bakal senja petang  itu. Sejenak berbisik di hatinya.

 “Aku lepaskan kau layang-layang. Pergilah menuju bintang. Sampaikan mimpiku di sana.” Aleya memejamkan matanya tanpa peduli aku sedang berada di belakangnya.

“Hai, berangankah? Suara aku membuatkan Aleya terkejut dan menamatkan lamunannya.

Itulah Aleya yang kuat mengelamun dan berkhayal dengan mimpi-mimpinya. Semasa di alam kampus dahulu, puas aku menasihati dan memujuknya. Namun, dia tetap dengan keresahan hatinya.

 “Zara, kau suka main layang-layang?” Tanya Aleya dengan tiba-tiba.
“Suka.” Pantas aku menjawab soalan Aleya.
“Kenapa?”
“Sebab layang-layang berani menentang angin demi kelangsungan harapannya untuk bebas di udara.”
“Kau pula?” Soalan bertukar kembali kepada Aleya.
“Suka. Tapi aku tidak pandai bermain. Aku hanya suka melihatnya dari jauh.
“Habis kau tidak berusaha untuk memenangi hati si layang-layang?’
“Maksud kau?” Aleya membutangkan matanya.
“Aku tahu kau pasti faham maksud aku bukan?” Aleya terus terpaku dan membisu tanpa kata sehinggalah dia bersuara kembali.

“Zara, aku ini perempuan yang diulit dengan perasaan malu. Meskipun cinta itu sangat meresahkan jiwa, apa yang terdaya untuk aku lakukan? Luahkan pada dia? Kemudian apa?”
“Nanti kau yang rugi kalau lepaskan dia begitu saja.”

“Andai terlepas sekalipun, jika memang cinta itu sejati, ia akan kembali sendiri pada aku. Umpama layang-layang yang terlepas dari tangan, andai ia milik aku pasti aku menemuinya kembali bukan?”

“Jadi, sampai sekarang Zed tidak tahu cinta kau pada dia?” Soalan aku menerjah ke ruang minda Aleya. Perlahan-lahan Aleya melangkah dua tapak ke hadapan sambil mengais rumput di hujung kakinya.

“Mungkin. Dua tahun yang lalu, ketika aku bermain layang-layang di padang kampus, aku sudah tekad untuk melepaskan cintaku terhadap Zed. Bagi aku cinta yang sebenar adalah cinta yang melepaskan bukan mengikat. Aku belajar untuk membebaskannya. Sama seperti hari itu, saat layang-layang yang dihulurkan Zed kepada aku terputus talinya lalu jatuh entah ke mana.” Aleya mengimbau kenangan lalu yang pernah tersimpan di tabung mindanya.

“Kau tak mencari layang-layang yang putus itu?”
“Tidak pula. Kenapa?”
“Habis, bagaimana kau mahu ketemu semula dengan layang-layang yang hilang itu kalau tidak berusaha dan gigih?”

Aleya mengetap bibir. Pandangannya jauh melihat langit. Kepalaku pula berputar-putar mengisar angin dan melihat awan-awan kekabu terapung di atas kepala. Kami memandang langit-langit biru dan akhirnya pandangan itu jatuh ke bawah. Lalu aku memandang Aleya. Cinta di hatinya sangat mahal. Terlalu mahal untuk dia luahkan pada seorang lelaki.

Aku terus mendakap tubuh Aleya dan memberinya semangat. “Leya, maafkan aku kerana terlalu berkeras tadi. Jika cinta yang kau simpan itu selalu menyeksa batinmu, tetaplah hatimu untuk terus melepaskannya. Aku sentiasa ada di sisi kau.
Perlahan-lahan Aleya mengusir air matanya yang jatuh tertumpah. Hatinya selalu gelisah saat merindui Zed dan Zaralah tempat dia meluahkan segala hal.

“Leya, aku tahu kau kuat. Jika hakikat cinta yang kau lepaskan itu terlalu sejati dan suci ia akan kembali sendiri padamu. Terima kasih Leya kerana ajarkan aku tentang cinta sejati ini.” Kami tersenyum bahagia. Lewat petang itu terpahat di dalam lipatan kenangan.

Sejak hari itu, aku benar-benar faham hakikat cinta sebenar. Aleya telah membuka pintu hatiku.

Dan hari ini. Aku juga telah menemui cinta sejatiku.Cinta yang halal untuk dinikmati dengan kekasih halal. Aku telah berumahtangga selepas Aleya menemui cinta sejatinya kembali. Ternyata cinta yang dia pertaruhkan dalam diam itu membawa nilai yang sangat istimewa dalam dirinya. Kata Leya, Zed juga menjaga hatinya ketika di zaman kampus. Bagi Zed, cintanya hanya pada isterinya, bukan pada perempuan yang menyukainya secara terang-terangan.


Aleya sudah menjumpai layang-layangnya yang pernah putus. Rupanya, layang-layang itu telah disimpan kemas oleh Zed.