Wednesday 29 January 2014

Hadiah Untukmu

Dua hari lagi majlis perkahwinan kawan saya. Nadia namanya. Orangnya tinggi lampai dan berkulit cerah. Saya mengenalinya semasa sama-sama mengulang kaji pelajaran di perpustakaan. Walaupun kami berlainan kos, tidak menjadi masalah ketika itu untuk duduk sama menelaah subjek yang berlainan. Kebetulan pula, kami sama-sama menetap di Sungai Petani.

            Semalam, saya pergi ke Tesco untuk mencari hadiah perkahwinan. Tiada idea langsung untuk beri hadiah apa yang sesuai dan memberi manfaat yang panjang kepadanya. Jika diberi pinggan mangkuk yang berkaca pasti ramai yang memberinya. Melihat pada album gambar, tidak pula menarik perhatian saya.

            Akhirnya, saya singgah di kedai buku POPULAR. Nah, inilah hadiah yang saya maksudkan. Sesuai dan memberi manfaat berpanjangan. Lama juga saya membelek-belek buku yang sesuai dan baik di antara yang terbaik.

SENTUHAN ROHANI BUAT SUAMI ISTERI AGAR CINTA BERSEMI INDAH
Kesalahan dan kesilapan suami isteri yang sering terjadi tetapi terlepas pandang.

Tajuk buku yang sesuai pada perkiraan saya. Ianya merupakan hadiah istimewa buat suami isteri dan bakal pengantin.




Selamat menempuhi alam perkahwinan!

Tangan Keakraban

Teks: Anis Sakinah Azizan
Foto: Koleksi peribadi







“Ibu, ini gambar tangan siapa?” tanya Yasmin dengan penuh rasa ingin tahu kepada ibunya Puan Aminah. 

            Tangan halusnya membelek-belek album lama yang tersimpan rapi di bilik bacaan ibunya.

            Puan Aminah menyandar tubuhnya di atas sofa bersebelahan Yasmin sambil tersenyum penuh bahagia.

            “Itu tangan sahabat-sahabat Ibu semasa di universiti dahulu, gambar ini diambil selepas ibu dan salah seorang dari kami masing-masing menghadiahkan rantai tangan sebagai kenangan. Sebagai tanda persahabatan kami ketika itu.”

            Yasmin menatap gambar itu penuh rasa. Dia mengembangkan senyum hingga jelas lekuk pada kedua-dua pipinya. Pandangannya masih belum lepas. Dia berhenti menyelak helaian album itu. Puan Aminah bingkas bangun dari sofa untuk melipat baju di ruang tamu sambil menonton televisyen.

            “Ibu, ceritalah.”

            “Cerita apa sayang?” Puan Aminah melempar sebaris senyuman kepada anaknya.

            “Cerita tentang sahabat-sahabat ibu semasa di universiti.” Perasaan ingin tahu Yasmin makin membuak.

            Puan Aminah diam seketika. Dia cuba menggali semula mencari timbunan kenangan yang pernah tertanam dalam mindanya.

            “Sayang ibu, tahu tak apa itu sahabat?”
            “Mereka adalah kawan kita. Orang yang dekat dengan kita, betul tak ibu?”
            “Ya sayang, tapi mereka juga lebih dari itu.”

            Puan Aminah memasang lamunan. Matanya langsung tidak berkelip. Dinding putih di hadapannya direnung dalam hingga terbabas ke alam khayalan.

            “Ibu... ceritalah lagi, Yasmin nak dengar cerita tentang sahabat ibu.”

            Puan Aminah cepat-cepat padam lamunannya.

            “Persahabatan itu adalah sebuah ikatan ukhwah yang bersatu hati, lihat pada tangan-tangan ini.” Puan Aminah menunjuk jari telunjuknya ke arah gambar tersebut yang berada di atas ribaan Yasmin.

            “Apa yang Yasmin dapat fikirkan dari gambar tangan-tangan ini?”
“Entahlah ibu, Yasmin tidak tahu.” Yasmin perlahan-lahan mengerakkan kepalanya ke kanan dan ke kiri. Mulutnya muncung ke depan.

            “Baiklah, ibu terangkan pada Yasmin, tapi sebelum itu ibu nak Yasmin kira dulu berapa tangan yang ada di dalam gambar ini?”
            “Satu... dua... tiga... empat... lima!”
            “Ada lima, kenapa ibu?”

            “Sebelah tangan kita ada berapa jari?”
            “Lima jugalah ibu.” Yasmin mula mengerut dahi.

            “Kelima-lima tangan dalam gambar ini umpama jari-jemari kita yang lima itulah, cuba kalau satu jari sahaja yang tiada, sempurna tak kita?"

            Yasmin terus merenung ibunya. Dia mengetap bibir dan mencemik muka.
“Tak sempurnalah ibu. Tidak lengkap dan cacatlah kalau begitu.”

            “Maka, erti sahabat juga begitu, jika hilang satu jari, kita sudah tidak lengkap bergabung membentuk jari-jemari yang sempurna. Setiap jari ini ada kepentingannya. Ia juga simbolik pada hubungan yang bersatu teguh. Sahabat itu umpama jari-jemari yang bersatu untuk membentuk sepasang tangan.”

            “Oh begitu, Yasmin faham ibu, tapi kenapa ibu simpan gambar tangan ini. Tidak pelikkah ibu?”

Puan Aminah tersenyum penuh girang. Lucu pula dengan pertanyaan anaknya.

            “Sayang tahu tak, gambar ini sangat bermakna buat ibu. Ada banyak kisah yang ibu simpan. Kenapa gambar ini diambil, bila gambar ini diambil, dan siapa dalam gambar ini adalah soalan yang banyak sangat jawapan. Mari sini ibu terangkan lagi.”


Puan Aminah mendakap anaknya sambil bercerita.

            “Tangan dalam gambar ini pernah menghulurkan bantuan saat ibu dalam kesusahan, tangan dalam gambar ini juga pernah menyambut tangan ibumu saat ibu dalam kesunyian, mereka datang memeriahkan suasana saat ibu dalam kesedihan, tangan-tangan mereka ini juga selalu menepuk bahu ibu dan mengucapkan perkataan tabah.”

            “Ibu, kenapa ibu sedih?” telah Yasmin yang melihat wajah ibumu penuh hiba.”
            “Tiada apa-apa sayang, ibu cuma teringatkan kisah lama. 
            “Ibu rindu tak pada mereka?”

            “Rindu sayang, siapa tak rindu mereka yang pernah mewarnai hidup ibu.”
            “Bila kali terakhir ibu berjumpa dengan mereka?”

            “Sepuluh tahun yang lalu mungkin.” Puan Aminah mengusap senak di matanya. Bimbang berjurai kembali air mata kehibaan.
            Yasmin terus memeluk ibunya.

            “Ibu, selamat hari lahir.” Yasmin mencium ibunya. Puan Aminah hampir lupa hari ini adalah hari lahirnya yang ke 40 tahun.
            “Ibu, Yasmin ada sesuatu yang istimewa nak tunjuk sempena hari lahir ibu, tapi, ibu tutuplah mata dahulu.

            “Baiklah sayang ibu.” Puan Aminah tersenyum manis.

            “Surprise!”

            Dalam kesamaran mata Puan Aminah yang semakin jelas di pandangannya, dia melihat Zanita, Naimah, Faridah dan Alia tersenyum penuh bahagia. Mereka datang ke teratak Aminah atas permintaan anaknya Yasmin. Itulah hadiah yang paling istimewa sempena hari lahirnya yang ke 40 tahun. Kali ini, air matanya tertumpah lagi. Air mata kerinduan terhadap teman-temannya.

            "Ibu, Yasmin tahu cerita tentang ibu suatu ketika dulu.” Mak Cik Zanita pernah ceritakan pada Yasmin sewaktu Yasmin bertemu dengannya secara kebetulan di sekolah. Pertemuan ini Yasmin dan Mak cik Zanita yang rancang sebulan yang lalu.

            Yasmin bermonolog dari jauh.


            Tersenyum bahagia melihat ibunya rancak berbual dengan teman-teman lama ibunya.

Tuesday 28 January 2014

Diari Ustazah Warden: Muka Surat Pertama

Teks: Anis Sakinah Azizan
Foto: Lukisan pelajar    


            Sudah lama saya berniat untuk menulis diari. Dan hari ini, saya mengerak-gerakkan tangan saya untuk menulis diari. Saya namakan diari ini “Diari Ustazah Warden”. Terima kasih kepada sahabat saya yang jauh nun di Sabah kerana menggelarkan saya sebagai Ustazah Warden, walaupun sudah berkali saya katakan kepadanya agar tidak memanggil saya dengan gelaran ustazah. Jadi, saya pinjam katanya untuk diberi nama pada diari ini.

            Sahabat saya itu akan memanggil saya dengan perkataan UW sahaja. Ianya adalah singkatan kepada Ustazah Warden. Inilah nama yang unik juga buat saya. Selain perkataan guru kecil, guru besar, pengawas sekolah dan warden asrama yang selalu kita sebut, belum ada gelaran Ustazah Warden hinggap di telinga ini. Ini adalah gabungan guru (ustazah) dan warden.

            Kenapa saya ingin menulis diari ini? Sebenarnya, saya ingin berlatih menulis di samping mencatat kisah biasa yang saya lalui. Mungkin diari ini membantu saya di kemudian hari. Menulis dan membaca semula.

            Baiklah, hari ini cukup sebulan saya bekerja sebagai warden di maahad tahfiz. Sudah tentu dalam sebulan ini cukup bagi saya untuk memulakan diari ini. Daripada mencatat sahaja di minda lebih baik saya tulis di dalam diari. Adakah saya akan menulis diari ini setiap hari? sampai bila saya akan menulis diari ini? adakah saya akan terus menulis diari ini walaupun sudah mendapat pekerjaan yang lain? Itulah persoalan yang tak mampu saya pastikan.

            Selain menjadi warden, saya juga mengajar pelajar-pelajar di dalam kelas, memantau mereka melakukan kerja harian, kejut mereka di awal pagi, arahkan mereka untuk makan, solat, mandi dan bangun dari tidur. Jika tidak disuruh, tidaklah dibuat dengan segera.

            Saya seorang lepasan universiti dalam bidang Perniagaan Islam. Disebabkan minat saya lebih cenderung ke arah mendidik dan menulis, saya rasa kerja sekarang seperti sesuai dengan jiwa. Waktu kerja, saya boleh fokus pada mengajar dan pada waktu lapang saya boleh menulis.

            Kisah apa yang saya ingin coretkan di dalam diari ini pun saya belum pasti. Tunggu sahajalah nanti bagaimana. Ini adalah mukasurat pertama perkenalan Diari Ustazah Warden.


            Diari Ustazah warden ini bukanlah kisah-kisah harian yang memaparkan tiap gerak-geri manusia atau amalan rutin dalam sehari. Mungkin saja sekadar coretan yang  membangunkan jiwa atau sebaliknya.


Wednesday 22 January 2014

Aku Ingin Terbang

Nukilan: Anis Sakinah Azizan
Foto: Carian Google

Aku bimbang menjadi camar
yang kepatahan sayap..
Tidaklah ku terbang lagi

Aku bimbang menjadi murai
yang bising di pepohon
jika hanya bersiul kosong

Aku bimbang menjadi sang merak
yang indah pada coraknya
namun angkuh dipandang

Aku bimbang menjadi helang
hanya gagah di udara
sesekali menerkam mangsanya

Aku bimbang menjadi merpati
yang jinaknya memukau
terasa dekat namun jauh.

Aku bimbang menjadi bangau
hanya hinggap menumpang
tetapi tidak berjasa

Aku ingin terbang tapi aku bimbang
Aku tidak punya sayap,

Namun aku lagi bimbang jika aku boleh terbang.


Monday 20 January 2014

Guru Bahasa Melayu

Teks: Anis Sakinah Azizan

Dua  hari yang lalu, saya menjadi guru Bahasa Melayu dan setiausaha yang tidak diikhtiraf. Kelas menghafal al-quran berjalan serentak dengan tugas menjadi guru Bahasa Melayu apabila salah seorang anak Ummi kerap meminta saya mengajarnya membuat karangan surat tidak rasmi. Si comel Amni (bukan nama sebenar) akan membawa kerja sekolahnya menghadap saya. Dia mengambil posisi sebelah kanan saya. Dengan nada yang manja, dia akan tersengih sahaja sambil menunjuk buku karangannya. Fahamlah saya ketika itu.

Karangan tersebut adalah tentang pengalaman seseorang yang bercuti di Pulau Langkawi. Tujuan surat itu ditulis adalah untuk dikirim kepada sahabatnya bagi menceritakan pengalaman diri (si pengirim) bercuti bersama keluarganya di sana.
Sebelum saya mengajarnya membuat isi dan ayat apa yang perlu diceritakan, saya terangkan dahulu tentang format membuat karangan surat tidak rasmi.  Hampir setiap ayat perlu dijana dengan idea saya sendiri. Kalau begitu sampai bila hendak pandai membuat karangan. Itulah yang selalu saya bising kepada Amni.

Dia memanggil saya dengan gelaran “Kak Anis” dan sesekala dengan panggilan “ustazah”. Tetapi saya lagi selesa jika mereka di sini memanggil saya dengan Kak Anis sahaja.

Baiklah, setelah membina ayat demi ayat, Amni hanya mahukan ayat yang ringkas sahaja. Kata saya kepadanya: Jika mahu membuat ayat, pastikan ayat itu jelas dan memberi faham. Jangan mengantung ayat tanpa ayat penyambung yang lengkap. Barulah karangan sedap dibaca.

Apabila mengajarnya mengarang, teringat pula saya suatu ketika dulu. Mak selalu sahaja beri idea dan ayat yang mantap sehingga saya kurang selesa mahu tulis, bimbang ayat terlalu power dan sedap. Waktu itu membuat karangan peringkat darjah enam. Tapi mak ajar seperti karangan budak sekolah menengah.
Kali ini, perkara yang sama saya lalui. Amni bimbang saya membuat ayat yang panjang. Sebab itu dia mahu ringkas sahaja. Saya ketawa dalam diam. Fahamlah saya akan situasinya.

Dan dua hari yang lepas juga, saya membantu Ustaz membuat surat pengesahan pelajar. Lama sudah tidak membuat kerja-kerja seorang setiausaha. Jawatan setiausaha sentiasa tersemat di hati. Zaman universiti yang banyak mengajar dan melatih diri.


Ini catatan dua hari yang lepas.

Saturday 18 January 2014

Sembang Kosong

Teks: Anis sakinah Azizan
Foto: Koleksi peribadi


Kelmarin.

Saya keluar bersama teman sekolah lama, Syahidah.

 Dia pelajar lulusan Bahasa Arab dari Jordan, setelah tiga tahun di sana kini dia melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana pula di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dalam bidang yang sama. Dia adalah sahabat yang pertama saya akan rujuk bilamana mengalami kebuntuan dan kurang pengetahuan berkaitan bahasa arab khususnya.

Saya pernah meminta dia belikan buku tajwid keluaran Jordan untuk saya rujuk dan simpan sebagai koleksi peribadi. Alhamdulillah, buku tajwid tersebut saya gunakan ketika saya di Maahad.

Semasa sedang menikmati makan tengahari di Seoul Garden semalam, kami telah mencetuskan perbualan mengenai masa depan. Tiba-tiba soalan yang keluar dari mulut Syahidah buat saya terpaku. Kaku, di atas bangku. Minda mula menghadam tiap katanya. Saya hanya sempat tersenyum tanpa kata.

Tak mahu sambung belajarkah?” kata Syahidah.

Itulah soalannya.

Saya ketika itu kurang pasti apa jawapan yang sesuai hendak khabarkan. Jawapan saya adalah rahsia. Saya ada sesuatu yang tersimpan di dalam hati, biarlah cita-cita tercapai dahulu barulah saya berani katakan bahawa inilah yang saya impikan. Suatu hari nanti. Tapi, jawapan itu belum pasti, maka nanti saja saya katakan. Saya pernah usulkan kepada mak untuk sambung belajar ke peringkat master, namun mak hanya mendiamkan diri. Riak wajahnya sudah memberi jawapan. Usahlah saya bertanya lagi. Dengan keadaan ekonomi sekarang, biarlah saya mencari sumber kewangan sendiri tanpa membebankannya lagi.

Namun, apa yang menjadi keutamaan saya di sini adalah untuk mencerita tentang huruf dhod. Ya, huruf dhod yang susah hendak kita sebut dengan makhraj yang betul. Kata Syahidah dalam keramahannya bersembang, dia menceritakan bahawa dia pernah ditegur oleh seorang syeikh dalam bidang al-quran semasa di Jordan tentang sebutan huruf dhodnya. Tiga kali syeikh tersebut meminta dia mengulang sebut huruf dhod dalam surah Al-Baqarah yang saya tidak pasti ayat yang di mana.

Tanya Syahidah pula kepada saya:

“bagaimana kamu menyebut huruf dhod?
“Lidah kamu mengena atau tidak ke gigi?
“dan kalau lidah mengenakan pada gigi..lidah kamu menghala ke kanan atau ke kiri?

Saya ketika itu mula membuat eksperimen. Terkial-kial lidah membunyikan huruf tersebut dan mencari ke arah mana lidah menghala. Kanan atau kiri.

Lidah ini ke kanan atau ke kiri. Itu susah saya nak yakinkan pada diri. Tapi yang pentingnya, lidah mestilah menyentuh gigi. Tidak kisah arah kanan atau kiri. Bagi sahabat saya, dia lebih selesa menggerakkan lidah ke arah kiri. Dan saya pula ke arah kanan. Penting mengetahui makhraj huruf dengan betul. Tambah-tambah dalam surah Al-fatihah yang wajib kita baca di dalam solat juga terkandung huruf dhod.



Pesan Syahidah kepada saya agar rujuk kembali buku tajwid yang dibelinya untuk saya. Di dalam buku itu ada menunjukkan gambar rajah tentang makhraj huruf.

Di sekolah dulu, kami sama-sama satu kelas al-quran. Kami berguru dengan Ustazah Norison. Beliau seorang yang garang tetapi baik hati. Alhamdulillah, banyak ilmu yang kami perolehi darinya. Apabila mengenangkan detik berdiri di dalam kelas hafazan al-quran kerana lambat menghafal ayat baru buat saya senyum sendiri. Pahit manis dalam pembelajaran dahulu memberi kesan yang positif dalam diri. Terima kasih ustazah atas ilmunya!

Ini adalah catatan sehari yang lepas.
Hanya mencatat di dalam minda sebelum menulis di sini.














Thursday 16 January 2014

Kelas Tajwid Pertama

Teks: Anis Sakinah Azizan
Foto: carian Google

Sabtu yang lalu, Ustaz Tohiri yang berbangsa arab Yaman datang ke maahad untuk mengajar tajwid, sudah menjadi kebiasaan untuk beliau datang mengajar pelajar-pelajar di sini pada setiap hari sabtu. Ustaz Tohiri yang mengenakan jubah putih dan berserban putih itu tampak berseri persis seorang ulama yang dihormati. Uniknya ustaz ini adalah kerana beliau boleh berkomunikasi dalam bahasa melayu walaupun agak lain sedikit sebutannya.

Para pelajar tahfiz mengambil tempat masing-masing menghadap ke arah  ustaz, al-quran diletakkan di atas rehal yang kukuh sambil memasang gaya sopan tertunduk. Memang penggunaan rehal di sini adalah wajib kerana seperti yang kita sedia maklum bahawa kita dilarang sama sekali meletakkan al-quran ditempat yang rendah atau di lantai.

 Saya yang ketika itu masih belum bersiap menghadiri majlis ilmu hanya mengintai dari jauh. Perlahan-lahan pintu bilik dibuka. Memang tidak sopan perbuatan seorang warden seperti saya yang agak malu-malu kucing untuk keluar.

 Dua tiga orang pelajar yang sedar dengan gelagat warden mereka terus tersenyum-senyum mengusik. Waktu itu, baru terasa ketarnya nak melangkah keluar. inilah padahnya, jika lambat masuk ke kelas. Teringat semasa di universiti dulu, jika lambat ke kelas, pensyarah tidak akan bertanya kecuali mengikut mood ketika itu. Tapi kali ini majlis ilmu agama, saya patut rasa bersalah dan tidak beradab.

Saya mengambil tempat bersebelahan seorang mak cik yang sedang kusyuk membaca surah Al-Maarij. Helaian demi helaian saya menyelak mashaf mencari mukasurat surah tersebut. Dengan rasa penuh bersalah, sempat juga saya lindung mimik muka dengan penuh bersahaja. Sebelum memulakan sesi tajwid, Ustaz Tohiri akan meminta semua pelajarnya membaca bersama-sama dengan beliau surah yang dipilihnya. Ini adalah teknik membaca sambil memperbetulkan tajwid secara langsung.

Itu adalah kali pertama saya mengikuti kelas Ustaz Tohiri kerana sebelum ini saya akan pulang ke rumah atau ke tempat niaga mak mengisi masa lapang saya. Cuma hari sabtu kali ini, saya ingin turut serta bersama pelajar dan makcik- makcik kejiranan yang hadir ke situ untuk menuntut ilmu tajwid.

Sebelum Ustaz datang lagi, seorang pelajar datang mengetuk pintu bilik saya memberitahu bahawa makcik-makcik di luar sana ingin melihat saya. Mungkin mereka teruja hendak melihat warden pertama di maahad itu kerana sebelum ini maahad dijaga oleh ummi dan suaminya Ustaz Fadzli secara langsung. Bagai pengantin perempuan pula saya ketika itu, yang malu keluar dari bilik menghadap orang ramai.

Maahad ini baharu sahaja dibuka oleh Ustaz Fadzli 4 bulan yang lalu di atas dasar tanggungjawab sosial. Itulah yang membuatkan saya kagum dengan beliau walaupun beliau adalah seorang pensyarah di Matrikulasi Pulau Pinang. Maahad ini adalah sebuah rumah dua tingkat yang bersebelahan dengan rumah beliau.

Baiklah kembali semula cerita tentang kelas tajwid tadi.

Ustaz Tohiri menulis di papan putih perihal topik sifat-sifat huruf. Sebelum kita membaca al-quran, kita perlu tahu sifat-sifat huruf dan makhraj huruf. Hal ini adalah kerana bagi tiap huruf-huruf itu ada sepuluh kebaikan. Menjaga hak setiap huruf  sehingga jelas dan meraikannya.


Hukum belajar ilmu tajwid ini adalah fardu kifayah. Dan membaca al-quran dengan tajwid itu adalah wajib ke atas semua mukallaf. jadi, pentingnya mempelajari ilmu tajwid ini. Saya yang mendengar kata-kata Ustaz Tohiri mengangguk-ngangguk tanda setuju

Ini adalah catatan yang tertangguh. Kesibukan sentiasa menjadi alasan walaupun 24 jam yang Allah berikan kepada kita sudah mencukupi.


Tajwid ialah membaca al-quran dalam keadaan tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada huruf-hurufnya. 

Monday 13 January 2014

Salam Taa'ruf


Teks: Anis sakinah Azizan
Foto: Koleksi peribadi

Segala puji bagi Allah.

Selawat dan salam buat junjungan mulia kita Nabi Muhammad SAW serta para ahlinya.

Syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya dapat saya coretkan sesuatu di sini.

Saya memperkenalkan diri dengan nama penuh Anis Sakinah Azizan, anak jati Kedah yang menetap di Sungai Petani sejak kecil lagi. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Daris Sungai Jagong, Sungai Petani Kedah dari darjah satu hingga ke tingkatan enam. Seterusnya meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pentadbiran Muamalat. Seorang yang bercita-cita untuk menjadi seorang penulis dalam bidang penulisan kreatif. Moga langkah ini terus maju dan berjaya hingga ke puncak.

Medan ini ditubuhkan atau dibina untuk merakam segala perjalanan kehidupan insan yang tidak penting. Ia kisah biasa-biasa yang dilalui oleh orang yang sangat biasa seperti saya ini. Semoga catatan biasa ini menjadi luar biasa bagi orang lain. Mudah-mudahan.

Sebelum membina blog ini, saya telah pun aktif menulis blog semasa di alam kampus. Blog tersebut tidak fokus pada sesuatu penulisan kerana lebih bersifat peribadi. Blog itu boleh dijumpai di carian google dengan alamat temansetiaketenangan.blogspot.

Tak kenal maka tidak bercintalah kita, sebagaimana saya mengenali Puan Mazlia Murat iaitu Guru Kelas Online Kelas Penulisan Kreatif saya, saya seperti jatuh cinta terhadapnya, beliau membimbing saya untuk terus melangkah lebih maju dalam dunia penulisan kreatif yang begitu diminati oleh saya.

Saranan beliau terhadap saya adalah untuk menfokuskan sesuatu jenama untuk saya tuliskan di sini, setelah ditimbang-timbang, maka Puan Mazlia mencadangkan agar saya menulis tentang dunia Tahfiz Al-Quran. Hal ini adalah kerana menurut situasi saya sekarang, saya terdedah ke arah itu dan mempunyai pengalaman tentang tahfiz walaupun tidak banyak.

Lama saya berfikir untuk tekad menulis tentang dunia tahfiz yang bagi saya agak mencabar dengan ilmu saya yang tidak seberapa ini. Sejujurnya, saya bukanlah seorang Hafizah Al-Quran atau Ustazah Tahfiz yang menghafal 30 juzuk Al-Quran, tapi saya percaya bahawa ini yang Allah tetapkan untuk saya. Saya perlu bersyukur atas segalanya.

Selepas tamat pengajian di alma mater pada tahun ini, saya agak runsing untuk mencari pekerjaan yang sesuai. Akhirnya, saya ditawarkan untuk menjadi warden di Maahad Tahfiz (perempuan) As Sofwah di Sungai Petani hasil perkenalan dengan seseorang di laman sosial Facebook. Niat asal mencari maahad tahfiz adalah untuk menyambung hafalan Al-Quran yang sudah lama saya tinggalkan sejak di bangku sekolah, tetapi disebabkan umur saya yang boleh disamakan dengan seorang guru sekolah, ummi maahad tahfiz tersebut memberi peluang untuk saya membantunya menjaga maahad tahfiz.

Minat terhadap Al-Quran sentiasa membara dalam diri, Ia adalah peneman setia kita hingga ke alam barzakh dan mukjizat yang kekal hingga kini. Belajar dan mengajarkan Al-Quran adalah sesuatu yang digalakkan oleh setiap insan, saya cuba untuk mengabungkan minat saya terhadap penulisan dan kecintaan kepada Al-Quran dalam satu entiti. Jadi saya memilih tema; membaca, menghafal, menulis dan memahami setiap kalimah-kalimah Allah yang tidak akan habis ditulis ini dalam satu  ruangan untuk diceritakan.




Saya juga mempunyai impian kecil untuk menubuhkan pusat pengajian Al-Quran, dengan pengalaman saya bekerja di bawah seorang ustaz yang menubuhkan maahad tahfiz  untuk menyempurnakan tanggungjawab sosialnya, moga-moga suatu hari nanti, impian ini dapat digapai dengan berbekalkan ilmu dari orang yang lebih berpengalaman.

Saya mungkin tidak mampu menceritakan segalanya walaupun dilalui sendiri kerana keterbatasan upaya. Namun saya yakin apa yang berlaku dalam kehidupan ini pasti terselit nilaian, pengajaran, tafsiran dan ilmu yang menjerumus kepada kekuasaan Allah.


Akhir sekali, semoga tulisan saya ini bermanfaat pada semua.