Monday 1 December 2014

Catatan Bengkel Aktivis Kreatif

Teks: Anis Sakinah Azizan

Rasa kaku apabila lama tidak mengetip di papan kekunci. Bimbang rasa itu berlanjutan maka kali ini saya ingin coretkan sedikit tentang catatan pengisian yang saya dapat semasa menghadiri Bengkel Aktivis Kreatif anjuran MAPIM yang bertempat di Baitul Ummah Sungai petani.  Penulisan kali ini saya ingin mengajak diri saya sendiri dan golongan muda untuk menceburkan diri dalam aktiviti kesukarelaan.

Aktivis atau sukarelawan adalah orang yang bekerja tanpa gaji, membuat sesuatu manfaat ke atas orang lain kerana Allah Taala. Itu adalah maksud yang saya terjemahkannya sendiri. Mungkin ada maksud yang lebih terperinci berkaitan aktivis.Walaubagaimanapun, saya pasti ramai yang sedia maklum dengan perkataan sukarelawan atau bahasa inggerisnya volunteer.

Apa yang perlu ada di dalam diri seorang aktivis?

Perkara pertama yang ditekankan oleh Pengerusi MAPIM adalah niat. Hal ini adalah kerana setiap amalan didasari dengan permulaan niat. Berniatlah dalam setiap perbuatan baik yang kita bakal lakukan hanya kerana Allah.
Selain itu, perlu berkorban.

“Berkorban dengan memberi sesuatu yang kita sayang. Bukan apa yang kita ada lebih. Itu bukan berkorban namanya. Ujar Cikgu Azmi selaku Pengerusi MAPIM yang hadir dalam slot perkongsian.

Saya amat bersetuju dengan beliau apabila beliau berkata. “Contohnya, kita sayangkan duit. Tetapi kerana agama Allah, kita beri duit tersebut untuk membantu orang lain.”

Kata-katanya mengingatkan saya tentang peristiwa bertemu dengan seorang Pak Cik India di Tesco baru-baru ini. Usai saya membuat urusan di mesin ATM, saya didatangi seorang Pak Cik India yang meminta saya mengeluarkan duitnya daripada mesin ATM. Katanya ingin mengambil duit bagi membeli minyak kerana motorsikalnya kehabisan mintak di tepi jalan.

Saya tidak tahu sama ada Pak Cik itu tahu atau tidak tentang wang simpanannya di dalam bank. Dua kali saya menekan jumlah yang ingin dikeluarkan sebanyak RM 100 transaksi tidak berjaya. Salah saya juga kerana tidak membuat pertanyaan baki. Entah apa saya rasa selepas itu, ada rasa yang menghambat di hujung hati. sebenarnya baki di dalam bank Pak Cik tersebut hanya ada RM10.

Pak cik tersebut beredar perlahan-lahan meninggalkan mesin ATM dan kelihatan resah kerana jarak rumahnya agak jauh dari situ, bagaimana mahu pulang jika minyak motor tidak dapat diisi. Orang lain hanya mendengar sambil menunjukkan wajah tidak percayakan Pak Cik tersebut walaupun berkali-kali dia bercakap sendiri.

Sebelum Pak Cik itu pergi jauh saya berlari-lari mendapatkannya. “Uncle, ini saya ada sedikit wang buat isi minyak. Semoga ini membantu.” Pak Cik India tadi ceria kembali melihat saya.

Rasa dahaga saya hilang selepas melihat wajah Pak Cik tersebut kembali tersenyum. Sebenarnya itulah juga duit bagi saya membeli air. Hanya duit itu yang saya ada ketika itu. Benarlah kata-kata yang saya percaya. ‘Bahagia bukanlah ketika kita banyak memiliki tetapi bahagia adalah ketika kita banyaknya memberi.’ Allahu. Itulah kata-kata yang yang memberi saya inspirasi. Dan benar juga, berkorban adalah dengan memberi apa yang kita sayang seperti duit.

Baik. Seterusnya adalah nilai yang perlu ditanam dalam diri seorang aktivis adalah dengan tidak memanjakan diri. Kita perlu sanggup untuk keluar dari zon selesa. Sanggup tidak selesa untuk membantu orang susah. Jika gunung yang harus didaki bagi selamatkan orang susah dan jika sungai yang harus diredah bagi membantu orang lain, itulah yang harus kita tempuh. Kerja kebajikan bukan untuk orang yang lemah dan manja. Para aktivis tidak dihidangkan dengan tempat tidur yang mewah, makanan yang sedap dan keperluan yang lengkap ketika turun padang. Jadi, sikap manja tiada dalam kamus seorang aktivis.

Di samping itu, seorang aktivis perlu mempunyai daya inisiatif yang tinggi. Sentiasa kreatif untuk lakukan kerja-kerja kebajikan. Bertindak tanpa disuruh. Sebaliknya, dia harus tahu apa yang perlu dia lakukan ketika berada di lapangan. Begitulah.
Dan terakhir sekali adalah dengan mendahulukan orang lain. Ini sama seperti kita mengorbankan kepentingan diri demi orang lain.

Aktiviti sukarelawan ini tidak semestinya harus yang besar-besar, sekecil-kecil aktiviti pun boleh lakukan, misalnya mencuci tandas masjid, menolong membuang duri di tepi jalan, memberi sedekah dan sebagainya.

Akhir kata, marilah kita mencontohi Asma’ Abu Bakar yang menghantar makanan ke Gua Thur setiap hari. Seperti Saidina Ali yang pernah mengantikan tempat tidur Rasulullah ketika dikepung oleh 11 pemuda Quraisy termasuk Abu Jahal dan Abu Lahab. Malah, mencontohi Rasulullah yang setiap hari menyuap seorang wanita buta dari golongan yahudi walaupun wanita tersebut selalu menghina dan mengkeji Nabi SAW. Begitulah teladan yang harus kita ikuti. Mencintai kebaikan seperti yang dilakukan oleh para sahabat Nabi dan Rasulullah sendiri.

InsyaAllah setiap kita mempunyai potensi yang baik untuk ditonjolkan. Ayuh, anak muda kita lakukan sesuatu yang baik mulai sekarang!

‘Success is not just about what you accomplish in your life, it’s about what you inspire others to do.’

Kejayaan bukan hanya diukur untuk diri sendiri. Kejayaan diukur melalui sumbangan kita kepada orang lain.


“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu.”

-(Al-Israa’: Ayat 7)

Wednesday 15 October 2014

Doakan saya!

Bismillahirrahmanirrahim…
Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam pada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Alhamdulillah, diberi kesempatan masa untuk menulis semula di sini. Rasa bersalah yang amat kepada diri kerana tenggelam dalam sistem masa yang tidak diurus dengan baik. Angan-angan untuk merealisasikan mimpi menjadi nyata kian malap seketika. Puas memujuk hati dan mendesak diri untuk membuat coretan.

Sikap malas membuka komputer riba yang terganggu dengan kemudahan internet membataskan tindakan menulis di sini. Padahal selalu sahaja online di media sosial. Itu pun dengan tablet. Dan hari ini, disebabkan kemudahan internet yang agak membantu telah mendorong diri untuk membuat anjakan paradigma. Hehe.

Saya tak dapat nak mencoret panjang lebar kerana ada urusan yang sedang menanti. Seronok saya melihat post-post terbaru rakan sekelas yang sudah boleh dijilidkan menjadi sebuah buku. Syabas!
Doakan saya supaya tetap dengan jalan ini.


Wednesday 20 August 2014

Bagai Layang-Layang

Teks: Anis Sakinah Azizan

Aleya adalah perempuan biasa dan seperti kebanyakkan gadis seusianya yang ingin dicintai dan mencintai. Perempuan yang selalu ingin menari-nari di sebalik awan putih dan menyanyikan lagu-lagu cinta di hatinya. Cinta pertama yang melekat di hatinya semakin hari membuatkan dia terjelempuk di dalam gudang rasa yang luas. Aku mengenalinya dengan rapat sekali. Ketika kami sama-sama belajar di universiti dahulu. Orangnya manis dan ceria. Kisah cintanya disaksikan sendiri oleh aku walaupun berkali-kali Aleya memarahi aku dan mengatakan bahawa jangan dibilang itu adalah cinta kerana dia tidak bercinta dan tidak dicintai. Hanya mencintai seseorang dalam diam.

Zed, teman sekuliah aku yang telah mencuri hati Aleya secara tidak sengaja. Kami berkawan rapat. Aleya mengenali Zed melalui aku. Memang tidak dinafikan bahawa Zed mempunyai cirri-ciri lelaki yang bagus untuk dijadikan calon suami. Daya tarikannya menyebabkan ramai gadis menaruh harapan yang sama kepadanya.

Kemunculan Zed dalam hidup Aleya sangat memberi makna dan menyinari hari-harinya. Rasa yang terpendam sentiasa menyala-nyala dalam hati Aleya. Namun, cepat-cepat dia padam apabila berhadapan dengan Zed. Bimbang Zed mencium bauan cinta di hatinya.

Suatu petang yang indah. Ketika langit luas terbentang meniup angin, Aleya dan aku sudah terpajak berdiri di atas hamparan hijau yang luas. Kami ke Pesta Layang-layang di Putrajaya. Akhirnya janji yang dibuat seminggu yang lalu terlaksana pada petang itu.

Para pemain mengulung-gulung benang sambil memerhati ke atas langit biru. Sesekali terbelit. Ada juga yang terlepas dari tangan. Aleya mendonggak ke angkasa melihat sarwa langit  yang bakal senja petang  itu. Sejenak berbisik di hatinya.

 “Aku lepaskan kau layang-layang. Pergilah menuju bintang. Sampaikan mimpiku di sana.” Aleya memejamkan matanya tanpa peduli aku sedang berada di belakangnya.

“Hai, berangankah? Suara aku membuatkan Aleya terkejut dan menamatkan lamunannya.

Itulah Aleya yang kuat mengelamun dan berkhayal dengan mimpi-mimpinya. Semasa di alam kampus dahulu, puas aku menasihati dan memujuknya. Namun, dia tetap dengan keresahan hatinya.

 “Zara, kau suka main layang-layang?” Tanya Aleya dengan tiba-tiba.
“Suka.” Pantas aku menjawab soalan Aleya.
“Kenapa?”
“Sebab layang-layang berani menentang angin demi kelangsungan harapannya untuk bebas di udara.”
“Kau pula?” Soalan bertukar kembali kepada Aleya.
“Suka. Tapi aku tidak pandai bermain. Aku hanya suka melihatnya dari jauh.
“Habis kau tidak berusaha untuk memenangi hati si layang-layang?’
“Maksud kau?” Aleya membutangkan matanya.
“Aku tahu kau pasti faham maksud aku bukan?” Aleya terus terpaku dan membisu tanpa kata sehinggalah dia bersuara kembali.

“Zara, aku ini perempuan yang diulit dengan perasaan malu. Meskipun cinta itu sangat meresahkan jiwa, apa yang terdaya untuk aku lakukan? Luahkan pada dia? Kemudian apa?”
“Nanti kau yang rugi kalau lepaskan dia begitu saja.”

“Andai terlepas sekalipun, jika memang cinta itu sejati, ia akan kembali sendiri pada aku. Umpama layang-layang yang terlepas dari tangan, andai ia milik aku pasti aku menemuinya kembali bukan?”

“Jadi, sampai sekarang Zed tidak tahu cinta kau pada dia?” Soalan aku menerjah ke ruang minda Aleya. Perlahan-lahan Aleya melangkah dua tapak ke hadapan sambil mengais rumput di hujung kakinya.

“Mungkin. Dua tahun yang lalu, ketika aku bermain layang-layang di padang kampus, aku sudah tekad untuk melepaskan cintaku terhadap Zed. Bagi aku cinta yang sebenar adalah cinta yang melepaskan bukan mengikat. Aku belajar untuk membebaskannya. Sama seperti hari itu, saat layang-layang yang dihulurkan Zed kepada aku terputus talinya lalu jatuh entah ke mana.” Aleya mengimbau kenangan lalu yang pernah tersimpan di tabung mindanya.

“Kau tak mencari layang-layang yang putus itu?”
“Tidak pula. Kenapa?”
“Habis, bagaimana kau mahu ketemu semula dengan layang-layang yang hilang itu kalau tidak berusaha dan gigih?”

Aleya mengetap bibir. Pandangannya jauh melihat langit. Kepalaku pula berputar-putar mengisar angin dan melihat awan-awan kekabu terapung di atas kepala. Kami memandang langit-langit biru dan akhirnya pandangan itu jatuh ke bawah. Lalu aku memandang Aleya. Cinta di hatinya sangat mahal. Terlalu mahal untuk dia luahkan pada seorang lelaki.

Aku terus mendakap tubuh Aleya dan memberinya semangat. “Leya, maafkan aku kerana terlalu berkeras tadi. Jika cinta yang kau simpan itu selalu menyeksa batinmu, tetaplah hatimu untuk terus melepaskannya. Aku sentiasa ada di sisi kau.
Perlahan-lahan Aleya mengusir air matanya yang jatuh tertumpah. Hatinya selalu gelisah saat merindui Zed dan Zaralah tempat dia meluahkan segala hal.

“Leya, aku tahu kau kuat. Jika hakikat cinta yang kau lepaskan itu terlalu sejati dan suci ia akan kembali sendiri padamu. Terima kasih Leya kerana ajarkan aku tentang cinta sejati ini.” Kami tersenyum bahagia. Lewat petang itu terpahat di dalam lipatan kenangan.

Sejak hari itu, aku benar-benar faham hakikat cinta sebenar. Aleya telah membuka pintu hatiku.

Dan hari ini. Aku juga telah menemui cinta sejatiku.Cinta yang halal untuk dinikmati dengan kekasih halal. Aku telah berumahtangga selepas Aleya menemui cinta sejatinya kembali. Ternyata cinta yang dia pertaruhkan dalam diam itu membawa nilai yang sangat istimewa dalam dirinya. Kata Leya, Zed juga menjaga hatinya ketika di zaman kampus. Bagi Zed, cintanya hanya pada isterinya, bukan pada perempuan yang menyukainya secara terang-terangan.


Aleya sudah menjumpai layang-layangnya yang pernah putus. Rupanya, layang-layang itu telah disimpan kemas oleh Zed. 

Monday 9 June 2014

Ulasan Buku: Sebelas Patriot

Teks oleh: Anis sakinah Azizan
Gambar: Hasil bidikan sendiri



Cuaca sekarang memang sangat terasa. Bahangnya buat saya berpeluh-peluh hingga ke kamar tidur walaupun pada waktu malam. Dengar cerita, ada juga sesuatu yang panas melanda orang ramai, isu perlawanan bola sepak yang panas hingga menjadi perbualan klise di ruang sosial facebook. Musim panas dan musim bola kedua-duanya menyebabkan orang ramai jadi demam.

            Ya, mungkin.

            Baiklah, tanpa mengomel lebih panjang. Memandangkan saya baru sahaja selesai membaca buku yang menyuntik inspirasi  kasih sayang anak dan ayah ini, saya kira lebih baik saya turut berkongsi sesuatu yang berkaitan bola sepak. Untuk berkongsi nama-nama pemain terkenal dan membuat ulasan tentang dunia bola sepak bukan bidang saya. Jadi, saya hanya dapat kongsi apa yang saya tahu.
Baiklah, ini berkenaan buku yang bertajuk “Sebelas Patriot” hasil karya penulis terkenal Indonesia, Andrea Hirata.

            Novel ini mengisahkan tentang perjuangan pemain bola yang disekat oleh Belanda suatu masa dahulu, kehandalan mereka bermain bola di padang menyebabkan tiga pemain bersaudara ini dibawa ke Balai Polis. Kemudian si sulung, tengah dan bongsu dibuang ke satu pulau.

            Peristiwa pahit itu terus terkubur dalam kenangan si bongsu. Tempurung kakinya pernah hancur hanya kerana dia berjaya menjaringkan gol semasa perlawanan martabat dengan Belanda.

            Sekeping foto lama yang dijumpai oleh Ikal anak si bongsu menceritakan semula peristiwa tersebut. Si anak nekad menunaikan mimpi-mimpi lama ayahnya yang terkubur.

            Saya fikir novel ini ada kesinambungannya, tetapi tidak. Penulis membiarkan pembaca berfikir sama ada si Ikal dapat menunaikan impian ayahnya atau tidak. Saya fikir, kesudahan ceritanya akan dititipkan dengan kejayaan si anak dalam perlawanan bola sepak serta mengharumkan nama baik Indonesia, namun sebaliknya. Penulis hanya meninggalkan kata-kata berbentuk puisi tentang semangat si anak untuk menebus kembali masa silam ayahnya.

            Semasa di luar negara, Ikal berpeluang menyaksikan perlawanan Real Madrid iaitu pasukan kegemaran ayahnya. Di Madrid, beliau berjaya mendapatkan jersi pemain Real Madrid yang ditandatangi oleh pemain itu selepas bekerja keras mendapatkan wang yang cukup untuk membeli jersi itu. Akhirnya, dia berjaya mengirim jersi itu kepada ayahnya bersama sepucuk surat tentang semangatnya untuk menyertai PSSI.

           Novel ini hanya mengandungi tujuh puluh empat muka surat sahaja. Walaupun bukunya nipis dan isinya tidak panjang, namun penulis berjaya memenuhi minda pembaca dengan gaya penyampaiannya yang penuh inspirasi. Rasa sedih tetapi tidaklah hingga menakung air mata di hujung pelepuk mata. Ada unsur komedi yang diselitkan.

         Kalau nak tahu bagaimana rasanya, marilah baca buku ini.

Oh ya, pembaca pruf untuk buku ini adalah guru penulisan saya. Puan Mazlia Murat. Bekas editor di PTS.

Tuesday 27 May 2014

Kembara Ilmu: Coretan Ringkas PBAKL14

Teks: Anis Sakinah Azizan
Gambar: Koleksi peribadi


Pesta Buku Antarabangsa kuala Lumpur merupakan sebuah kota buku yang diadakan pada setiap tahun. PBAKL2014 kali ini berlangsung selama sebelas hari bermula pada 24 April hingga 4 Mei 2014 di Putra World Trade Centre. Saya difahamkan, pesta buku kali ini merupakan kali yang ke-33. Semoga usaha ini diteruskan lagi pada masa hadapan demi memartabatkan ilmu dan membudayakan amalan membaca di kalangan masyarakat.

            Acara ini merupakan satu salah peluang kepada pengiat industri buku, syarikat-syarikat penerbitan dan pengedar buku untuk mempamerkan produk-produk mereka. Jualan secara diskaun, cabutan bertuah dan tawaran hadiah yang menarik menjadikan para pembeli berpuas hati untuk berbelanja tanpa kisah. Manfaat-manfaat sebegini tidak datang berkunjung setiap hari, maka tidak hairanlah jika ada di kalangan pembeli berbelanja besar untuk menikmati manfaat-manfaat tersebut.

            Suasana yang sesak dibanjiri orang ramai bukan lagi fenomena biasa di sini. Pengunjung-pengunjung sudah pun mula menapak pada hari pertama lagi. Kemudahan-kemudahan seperti kerusi urut, kafe dan sudut membaca juga disediakan untuk memberi keselesaan kepada para pengunjung.

            Di sini juga pemain-pemain di dalam industri dunia penulisan, penerbitan dan perbukuan berhari raya. Maka, dengan adanya pesta sebegini, dapatlah para pembaca, peminat dan orang ramai bertemu sua dengan penulis kesukaan mereka secara tidak langsung. Selain itu juga,ada di kalangan mereka ini yang mencuri peluang untuk terus berjumpa editor atau penerbit bagi memanjangkan angan-angan untuk menjadi salah seorang penyumbang karya di Malaysia.

            Alhamdulillah, kembara kali ini saya dapat bertemu dengan dua orang penulis di booth PTS. Ini adalah kali kedua saya bertemu dengan Tuan Bahruddin Bekri dan Cik Puan Azzah Abdul Rahman. Maka, sempatlah saya mendapatkan tandatangan mereka berdua untuk beberapa buku yang saya bawa dari rumah dan ada juga yang dibeli dari sana. 



          Misi saya untuk bertemu penulis kali ini menjadi realiti sebelum dua hari lagi pesta buku ini melabuhkan tirainya. Saya menghabiskan masa selama dua hari di kota buku tersebut. Alang-alang datang dari jauh, biarlah duduk lebih lama. Moga kembara kali ini mendapat manfaatnya.



            Saya mengharapkan suatu hari nanti PBAKL tidak lagi menjadi pesta buku tahunan. Sebaliknya menjadi acara setiap bulan atau lebih baik dari itu diadakan pada setiap hari. Jadi, masyarakat akan terdedah dengan persekitaran buku dan menjadikan membaca sebagai gaya wawasan.


Coretan ringkas si penggembara ilmu.


Tuesday 13 May 2014

Ulasan Buku: Kumpulan Cerpen 'Melawan yang Mustahil'

Tajuk buku: Kumpulan Cerpen Melawan yang Mustahil
Penulis: Ruhaini Matdarin


           
Menariknya buku ini dari sudut pengolahan ceritanya yang padat dan sarat dengan isu kehidupan. Bagaimana manusia bergolak dalam kehidupan seharian yang dilatari dengan ketidaktentuan ekonomi, kecelaruan sosial, budaya yang rencam dan politik yang kian parah.

            Dalam buku ini terdapat sepuluh tajuk cerpen. ‘Melawan yang Mustahil’ diangkat menjadi judul utama buku ini. ’Melawan yang Mustahil’ memaparkan kisah bagaimana seorang wanita tempatan yang bekerja di Chiang Mai, Thailand bertemu dengan seorang lelaki Thailand di sana. Bibit pertemuan mereka bermula semasa mereka berdua berjumpa di dalam kabin pesawat yang membawa penumpang ke Thailand. Disebabkan berbeza budaya dan pegangan agama, Rafizah sedaya upaya melawan hasrat Nitikorn untuk bersama dengannya. Nilai ketimuran dan pegangan agama Rafizah berjaya membuatkan hatinya keras dan melawan sesuatu yang mustahil. Sebaliknya dia hanya berserah kepada ketentuan masa.

            Saya kira buku cerpen yang bersaiz sederhana ini sangat menarik untuk dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat. Isi kandungan setiap cerpen mengajarkan sesuatu yang baik kepada pembaca. Tahniah kepada penulis kelahiran Negeri di Bawah Bayu ini kerana berusaha keras di dalam bidang penulisan sehingga dianugerahkankan sebagai Pemenang Pertama Cerpen di dalam Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi anjuran ITBM PENA-Berita Harian.

                                                     

Monday 12 May 2014

Rasa yang Disakiti

Rasa yang disakiti.

            Adakah tanda-tanda seseorang yang bakal meninggalkan kita secara hidup atau mati itu akan menyakiti hati kita? Mungkin saja ianya hanya sekadar kebetulan dan bukannya petanda atau takdir. Sebaliknya, kita sebagai manusia perlulah bergantung kepada Allah dari segenap ruang.

            Ceritanya begini.

            Saya ada seorang pelajar yang usianya hanya berjarak beberapa tahun sahaja dengan saya. Dia seorang yang tidak dapat diduga perasaannya. Adakala datang kepada saya dengan sikapnya yang manja sehingga membuatkan saya segan-segan untuk melayannya. Hubungan kami ibarat kawan dan kadang-kadang seperti hubungan adik dengan kakak. Ketika kami bertemu di dalam kelas, saya harus memainkan watak sebagai seorang guru. Dan ketika di luar kelas sebagai seorang warden dan kakak bagi mereka. Mungkin situasi begini akan menimbulkan krisis identiti bagi mereka. Salah saya juga kerana pada awalnya tidak menggelarkan diri sebagai ustazah. Hal itu yang menjadikan Mudir kurang setuju dengan saya. Akibatnya, ada segelintir pelajar yang kurang menunjukkan rasa hormat kepada saya sebagai seorang guru.

            Seperti biasa pada awal pagi, saya mengejutkan mereka dari tidur. Dan ketika itu saya harus memainkan watak sebagai seorang warden. Setelah pelajar lain bangun dan bersiap untuk solat subuh, kelihatan dia masih tidur. Keadaan itu membuatkan saya hilang sabar dan terus naik marah. Rupanya perkara itu tidak habis hanya di situ.

            Dalam kelas, mukanya bagaikan ada api yang terpancar. Bahangnya membuatkan saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara kami. Namun perkara itu hanya sampai di situ. Saya pula terus mengajar seperti biasa.

            Sepucuk surat diletakkan di bawah al-Quran saya. Tulisan itu datang daripada dia. Helaian kertas putih yang bertulis sebanyak empat muka surat saya tatap dengan hati yang lapang. Surat itu diletakkannya sewaktu makan tengah hari. Jika diikutkan hati memang isi kandungannya agak kurang sopan. Luahan seorang murid yang tidak sepatutnya dicoretkan sebegitu.

            Baiklah, demi memendekkan cerita. Hal ini sampai ke pengetahuan mudir dan isterinya. Saya dipanggil untuk menerangkan hal yang sebenar. Pelajar tadi sebenarnya meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada saya dengan mengatakan saya berat sebelah dan pilih kasih. Dek kerana saya kejutkan dia dengan cara yang sebegitu dan pelbagai lagi rasa di hatinya.

            Sudah seminggu dia meninggalkan kami semua. Dia pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur. Pada mulanya dia diberi cuti oleh mudir untuk tenangkan diri selepas perkara tersebut meletuskan perang dingin antara kami. Saya tiada masalah dengannya, Cuma entah bagaimana dia merasakan perkara itu masih belum selesai. Sekembalinya dia ke sini setelah bercuti hanya untuk mengambil pakaian. Niatnya untuk berpindah diteruskan. Saya akui hati saya benar-benar sakit hingga mengalir air mata ini tanpa henti. Namun segalanya saya padam.

            Sebelum pergi, dia mengetuk pintu bilik saya. Kami saling bermaaf-maafan. Dia pergi dengan cara yang baik. Akhirnya dia sedar akan kesilapannya. Keputusannya untuk meninggalkan kami semua atas beberapa faktor yang lain. Mungkin saja dia ingin meninggalkan kami dengan kenangan sebegini. Dia pergi setelah menyakiti hati saya. Pemergiaanya buat kami tidak berat hati lagi. Mungkin itulah aturan hidup. Sebelum dia pergi, perkara yang terjadi sebelum ini hanyalah asbab semata-mata.

            Kata ibu saudara.

            “Kadang-kadang orang yang bakal meninggalkan kita akan membuatkan kita sakit hati dengannya supaya tiada kenangan yang manis ditinggalkannya. Jadi, hati kita pun kurang terseksa dengan pemergiannya.”

            Itulah ayat penyebab hati yang buat marah dan sakit hati saya kepada seseorang beransur kurang walaupun marah itu kepada bapa saudara kandung saya.
            “Sabar sahajalah.” Ibu saudara saya memujuk.

            Mulai saat itu, saya merelakan segalanya. Tersentap juga dengan ayat itu. Rupanya ibu saudara saya itu telah lama memendam rasa sakit hati kepada suaminya. Mungkin tidak terkira lagi sakit di hatinya.

            Kini, saya tidak lagi sakit hati terhadap bapa saudara kandung saya itu. Sebaliknya menikmati dan menghargai usianya bersama kami sementara dia atau saya masih ada. Usianya sudah 60 tahun ke atas. Tulang empat keratnya masih kuat tetapi cepat letih. Sayu juga saya melihatnya. Moga Allah melindungi dan merahmati bapa saudara saya itu.

            Dan semalam, suami kepada ibu saudara saya itu telah pergi menghadap Ilahi. Saya terus teringkatkan kata-katanya. Ada benarnya juga apa yang dikatakannya. Sejak hari itu, saya cuba untuk tidak terasa hati atau merasa sakit hati dengan sesiapa pun. Dan setiap waktu yang kita ada sebenarnya terlalu singkat untuk perkara-perkara yang negatif.


Saturday 10 May 2014

Menulis Itu Ibadah

“Anis, menulis itu ibadah.”

Itulah kata yang dicoretkan oleh Tuan Bahruddin Bekri di muka hadapan buku Penulis yang Disayangi Tuhan sebelum ditandatanganinya. Tapi berapa ramai yang menulis kerana Allah? Dan tahniah buat mereka yang meletakkan Allah sebagai matlamat utama untuk menulis. Saya juga pernah ditanya, “kamu menulis kerana apa, siapa, dan kenapa?”

         Sungguh, waktu itu saya belum punya apa-apa jawapan. Jelaslah kini, mengapa saya selalu sahaja kurang praktis untuk menulis. Dalam erti kata lain, malas untuk menulis walaupun tahu benar musuh utama menulis itu adalah malas. Kerana apa? Sebab matlamat tidak jelas. Tidak meletakkan Allah sebagai tujuan utama. Selepas saya membaca buku karangan Tuan BB, saya faham kesemua isi yang tersirat dan tersurat di dalamnya. Saya memuji novel ini walaupun pada mulanya saya kurang faham jalan ceritanya hinggakan saya hampir saja tidak ingin membacanya. Rupanya, saya harus bersabar ketika membaca, umpama menyelam ke dasar laut yang dalam untuk menemui mutiara yang berharga. Begitulah, saya memaksa diri untuk membaca dan akhirnya, saya dapat lebih dari itu.

            Selepas berbengkel tempoh lalu, alumni-alumni bengkel mewujudkan satu group sokongan yang diberi nama singkatannya sebagai KKS. Saya diberitahu oleh Tuan BB tentang group itu lantas dimasukkan sebagai ahli KKS yang akan bersama-sama bergerak secara berpasukan untuk menulis cerpen. Antologi cerpen ini bakal diterbitkan secara E-Novel oleh PTS dan dapat diakses melalui Google Play Store. insyaAllah, saya turut menyumbang sebuah cerpen untuk E-Novel KKS untuk siri yang ketiga. Projek ini akan berterusan selama mana mungkin. Inilah langkah pertama untuk saya maju setapak di dalam bidang penulisan. Terima kasih atas peluang itu.

            Saya ada penyakit rendah diri yang sangat dalam. Hal itu selalu sahaja membebankan minda saya. Bukanlah kerana bimbang dikritik atau ditegur. Cumanya, rasa seperti ingin melahirkan anak sahaja. Walaupun saya tidak tahu rasa yang sebenar itu bagaimana. Rasa yang buat saya takut-takut. Itulah rasanya selepas saya menghantar karya pertama itu kepada editor KKS. Akhirnya selepas menghantar di emel terus saya memejamkan mata, tidur. Moga-moga dengan harapan bangun dari tidur esok pagi rasa itu sudah hilang. Berada bersama ahli alumni yang lain juga buat saya merendah diri. Saya ini apa yang ada, sedangkan yang lain sudah lama berjinak dalam bidang ini.

            Sebenarnya saya rindu dengan Kak Siti Khadijah Diana. Dia rakan satu kelas penulisan online bersama saya. Oh ya, nanti dia akan baca juga post saya ini. “Kak, ke mana menghilang?” Dah lama tak borak-borak di FB tanyakan pendapatnya tentang penulisan. Saya yakin, dia menyepi seketika untuk selesaikan satu tugasan atau tanggungjawabnya. Mungkin sedang menumpukan sepenuh perhatian pada novel keduanya. Beliau juga teman berbual saya untuk memberi semangat saat saya kebuntuan. Moga-moga dia sihat dan berada di dalam perlindungan Allah.

            Buat guru online saya, Puan Mazlia Murat yang kini sudah menimang cahaya mata yang comel, terima kasih atas tunjuk ajar. Maafkan saya kerana masih terbengkalai dalam menyiapkan tugasan dan kurang memeriahkan blog ini. Doakan saya terus maju serta yakinkan saya bahawa saya tidak tersalah langkah untuk terjun dalam bidang ini.

            Kata orang, apa yang kita minat tidak semestinya itu yang kita perlu. Saya berharap sangat agar tanggapan itu tidak seratus peratus benar. Mungkin Allah mahu saya terus belajar lagi. Kini saya sedar, menulis juga bukan sesuatu yang mudah. Saya kagumi mereka yang telah menghasilkan karya sendiri. Dalam hati tak putus-putus menyoal, bagaimana mereka boleh menghasilkan novel?

            Menulis cerpen atau novel tidak sama seperti mengupdate status di facebook, huhu. Itu saya akui. Untuk mengemaskini status di facebook, pantas saja jari ini, tambah-tambah bila idea tengah mengalir. Terus saya menulis di dinding facebook. Dari situ, ada yang menyangka saya akan dapat membuat cerpen yang baik dek kerana mereka membaca status fb saya. Wahal, sangat bertentangan. Rasa perit bila tidak selalu berlatih menulis. Apabila diberi due date untuk menghantar cerpen, kelam kabut saya siapkan. Dapat last minute sebabnya saya ketinggalan mengikuti kumpulan sokongan itu. Kerana keperihatinan Tuan BB, saya sempat berada di situ. Umpama baru hendak naik kapal, sedangkan kapal itu hampir sahaja mahu bergerak ke destinasinya. Huh,berpeluh. Namun saya bersyukur atas peluang itu. Saya harap, dapat berlayar bersama-sama ke tengah lautan penulisan.

            Kembali semula ke tajuk asal. Seperti yang saya ingin tekankan di sini. Menulislah, kerana ianya satu bentuk ibadah. Satu cabang dakwah, dakwah bil maqal.






Wednesday 2 April 2014

Kembara Ilmu: Bengkel Penulisan Cerpen Bahruddin Bekri

Teks: Anis Sakinah Azizan
Gambar: Koleksi peribadi


Sekali lagi kaki ini menapak ke Wangsa Melawati, jika dulu di Jalan Wangsa Setia 1 untuk ke Akademi MUSTREAD, kali ini saya ke Jalan Wangsa Setia 3 untuk ke Akademi FINE. Inilah jejak-jejak ilmu yang tidak hanya berakhir selagi hayat di kandung badan. Tujuannya hanya satu, menimba ilmu dan mengumpul pengalaman.

 Bengkel kali ini dianjurkan oleh tim Kursuspenulisan.com di bawah naungan Tuan Z amri Mohamad, seorang penulis dan trainer penulisan. Jika dulu keinginan saya untuk mengikuti Bengkel penulisan Novel di bawah program tim ini tidak kesampaian, namun ia tetap tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba lagi di lain kali. Alhamdulillah, trainer jemputan pula adalah penulis kesayangan saya iaitu Tuan Baharuddin Bekri. Saya antara ribuan peminat tegarnya.

Sudah lama mengenali penulis Bahruddin Bekri dengan mengikuti perkembangan karyanya dan alhamdulillah baru kini dapat bertemu secara dekat dengan beliau. Orangnya nampak tenang dan lucu saya kira. Manakan tidak, semua peserta bengkel tidak kering gusi mendengar kata-kata yang berbaur jenaka selambanya. Sebelum ini, saya hanya tersengih dan ketawa seorang diri membaca buku-bukunya yang diselitkan dengan unsur komedi malah semasa bengkel saya juga turut pecah ketawa mendengar ucapannya yang beraksi di hadapan para peserta.

Adab menimba ilmu itu adalah dengan berguru. Cari ilmu dengan guru atau yang pakar ke atas ilmu yang ingin kita pelajari sebelum kita bisa menguasainya. Ya sebilangan orang mengatakan; buat apalah pergi ke bengkel jika ingin menulis, orang yang pandai menulis pun tidak pergi ke bengkel penulisan. Setelah saya berbengkel, saya sudah bertemu jawapan untuk soalan itu jika ia diajukan lagi. Begini jawapannya, yang 70 peratus itu datangnya dari dalam diri kita sendiri iaitu  usaha dengan rajin dalam bidang penulisan dan 30 peratus lagi itulah datangnya dengan kita mengikuti bengkel seperti ini.

Apa itu CERPEN?

Istilahnya pasti semua orang tahu bukan? CERITA + PENDEK= CERPEN

Cerpen itu bagaimana?

Kata Tuan Bahruddin Bekri, cerpen itu adalah suatu konflik yang indah. Cerpen itu hanya mempunyai:

      1)     Satu plot sahaja
2)      Satu jalan cerita
3)      Watak terhad
4)      Latar masa terhad
5)      Latar tempat terhad
6)      Konflik yang padat lagi indah.

Cerpen bergerak melalui watak dan situasi. Selain itu juga, kandungan di dalam cerpen perlulah mengandungi matlamat yang ingin disampaikan di dalam cerpen, konflik yang ingin di ketengahkan dan perlu mempunyai twist di akhir penyelesaiannya, barulah cerpen itu tampak menarik di mata para pembaca.

Tujuan kita menulis sebenarnya bukanlah kerana ingin menjadi popular. Tetapi meletakkan tujuan utama sebagai mengubat hati dan melegakannya di mana beroleh pengajaran dari apa yang kita tulis. Seterusnya ke peringkat yang lebih mulia iaitu dengan niat ingin berdakwah. Wang, anugerah dan popular itu hanya nilai tambah dalam hidup seorang penulis.

Selain dibekalkan dengan nota-nota penulisan cerpen, bengkel yang dikendalikan ini juga turut membawa para pesertanya mempraktik apa yang telah diajar secara teori. Itulah antara momen indah yang saya dapat. Pertamanya, dapat mempraktik secara langsung apa yang telah diberi dan keduanya menghubungkan silatulrahim di antara peserta. Di situlah bermulanya titik-titik perkenalan antara peserta untuk sama-sama berkongsi idea, pengalaman dan maklumat diri.


Bengkel yang bermula pada tepat pukul 9.00 pagi melabuhkan tirainya pada pukul 5.30 petang. Sebelum bergerak pulang, peserta bengkel mencuri peluang untuk bergambar kenangan bersama Tuan Baha. Kata Tuan Baha yang sentiasa diulang-ulangnya adalah TULIS SAMPAI SIAP! Jadi, marilah berusaha!




-Bengkel Penulisan Cerpen
30 Mac 2014



Saturday 15 March 2014

MH370... cepat pulang ke sini.

Teks: Anis Sakinah Azizan
Gambar: Facebook



Seminggu sebelum…

“Izzah, boleh kita berbual sekejap?” Aku menelefon teman karibku. Entah mengapa hati rasa seperti resah dan gelisah. Lalu dia menjadi sandaranku untuk diluahkan.

“Lama aku tidak mendengar cerita tentang kau walaupun baru dua hari tidak berbual di telefon.” Izzah ketawa kecil di telefon.

“Begini, kau ada berhubung dengan Zed?” Aku segan untuk menanyakan soalan itu, tetapi disebabkan ingatan aku terhadap Zed aku gagahkan juga bertanya pada Izzah.

Izzah membalas, “Ada juga semalam, kenapa?”

“Tak ada apa, Cuma aku tiba-tiba teringatkan dia, nak hantar mesej pun aku segan.” Sebenarnya aku cuba sembunyikan keegoaan aku.

“Yana, bagi aku tak salah jika kau teringatkan dia, kita kan kawan. Janganlah disebabkan ego, kau jadi begini. Sekurang-kurangnya mesejlah dia tanya khabar sementara orang itu masih ada di sini. Hargai masa yang ada.” Izzah memberi pesan padaku.

Aku menamatkan perbualan aku dengan Izzah. Setelah mendengar kata-katanya. Ego yang aku dukung selama ini aku runtuhkan sedikit demi sedikit. Aku tahu Zed juga pasti hairan dengan sikapku yang seolah-olah cuba menghilangkan diri. Itulah ego seorang perempuan.

Perbualan aku dengan Izzah membuat aku bertambah yakin untuk menaip mesej kepada Zed. Betul katanya. Tapi, kenapa Izzah kata seperti itu. Sementara dia masih ada di sini? Zed mahu ke mana?

Aku ditindih soalan.

Aku dengan Zed agak rapat kerana kami saling bekerjasama di dalam kelab dahulu. Apabila tamat belajar, masing-masing telah membawa diri. Cuma ingatan dan kenangan masa lalu yang kian menghubungkan tali persahabatan kami. Ada sedikit perselisihan faham di antara kami yang membuatkan ego aku menebal dan jauh hati dengan Zed. Lalu, hubungan kami menjadi tegang. Aku menunggu mesej dari dia dan dia menunggu mesej dari aku. Begitulah yang diceritakan Izzah padaku. Masing-masing ego.

Tiga hari sebelum…

Hari ini aku menaip mesej kepada Zed. Berdebar-debar rasa. Agak lama kami tidak berhubung. Kami saling berbalas mesej. Harapan aku dan Izzah agar Zed dapat turun semasa majlis konvokesyen kami nanti. Bolehlah lepak-lepak macam dulu dengan yang lain. Segala pelan telah diatur. Aku sudah berangan-angan untuk menyusun program dengan Zed. Tinggal sebulan sahaja lagi untuk merealisasikannya. Alangkah seronoknya, jika semua dapat turun bersama, aku, Izzah, Zed, Wan dan Cempaka. Tiba-tiba, Zed kejutkan aku dengan mesejnya.

“Aku sebenarnya tak dapat turun untuk majlis konvokesyen korang nanti.”

Hati aku senak seketika. Aku terdiam membaca mesej tersebut. Cepat-cepat aku bersorak kembali.

“Kenapa?” aku terus menyoal.

“Aku akan ke Beijing dua hari lagi, untuk meneruskan pengajian di Tianjin Foreign Studies University. Aku terpilih selepas menghadiri sesi temuduga yang dianjurkan oleh pihak universiti untuk ke sana. Maafkan aku sebab tidak beritahu kau awal-awal.”

“Betulkah Zed?” Aku terus menyoal untuk memastikannya.

“Ya, betul Yana. Aku tidak bergurau dengan kau.”

“Sebenarnya, aku tidak tahu nak cakap apa, apa-apapun tahniah!” Riak muka aku menjadi kelat, hati aku bungkam. Terputus kata untuk membalas mesej Zed.

“Aku juga tidak tahu nak kata apa pada kau Yana.” Mungkin Zed sedang memahami perasaan aku saat itu.

Baru kini, aku faham apa maksud Izzah tempoh hari. Rupanya Izzah sudah tahu terlebih dahulu dari aku, Cuma dia mahu Zed beritahu aku sendiri. Tinggal dua hari sahaja lagi. Rasa kesal kerana sebelum ini aku mempertahankan ego aku untuk menghilangkan diri dari Zed. Zed tahu aku marah dengannya. Jadi, dia hanya menunggu aku menyapanya terlebih dulu.

Dua hari sebelum…

Masa yang berbaki dua hari aku tekad untuk mengetahui perkembangan Zed. Dia sedang menjalani kursus sebelum ke sana. Kami sempat berseloroh di ruang mesej.

“Doakan aku lekat ilmu di sana!” Zed meminta aku berdoa untuk dia. Tidak pernah dia begitu. Aku tersenyum sendiri.

Aku terus menaip mesej. “Dah jadi orang hebat nanti, jangan lupakan aku pulak, kalau kau masih ingat ayat itu." 

Itulah ayat yang aku pernah katakan pada Zed semasa di perpustakaan. Entah mengapa, sejak hari pertama melihat dia, aku rasa dia orang yang hebat.

“Ayat itu aku ingat, tapi hebat yang kau katakan itu aku tidak tahulah hebat yang macam mana.” Zed ketawa.

Hari kejadian…

Zed pesan padaku semalam supaya tidak bersedih seperti mana aku bersedih semasa kami mengadakan majlis perpisahan tempoh lalu di kolej aku. Tempoh setahun bukannya lama. Pejam celik pejam celik cukup setahun.

“Kau jangan nak menangis segala. Lakonan saja tu.” Zed memang selalu menyakat aku.

Aku tidak dapat mengiringi perjalanannya ke lapangan terbang kerana jarak kami yang  jauh. Hanya Khidmat pesanan ringkas yang menghubungkan kami.

“Jaga diri!” ringkas pesanan dia pada aku sebelum berlepas pagi itu. Dia bakal berlepas dengan pesawat MH 370 dari Kuala Lumpur ke Beijing. Gembira melihat dia bakal berkelana di sana. Rezeki dia di tempat orang dan yang paling seronok segala aktiviti panjat-memanjat Zed bolehlah diteruskan di sana, pasti tembok besar China itu ditawannya.

“Aku pergi dulu. Jaga diri.” Zed sekali lagi memesan padaku.

Keesokan hari…

Aku bangun dari tidur. Terkejut dengar bunyi mesej di telefon. Nama Izzah tertera di skrin inbox message.

“Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan bahawa pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi tadi. Pesawat yang membawa penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing. Cepat buka facebook, aku nampak nama Zed tersenarai di situ."

Aku tatap mesej dari Izzah penuh rasa cuak, berdebar dan risau yang bergelora panjang.

Pada saat itu, tiada kata yang lebih besar melainkan mengucap panjang dan menyebut nama Allah. Aku tampar pipi berkali-kali supaya aku tidak bermimpi. 

Terkebil-kebil anak mata menghidupkan laptop. Ternyata satu dunia sedang hangat membicarakan tentang MH370. Di satu kenyataan media, aku lihat nama Zed tersenarai di situ. Itulah pesawat yang dinaiki Zed semalam.

Jantung aku rasa seperti nak terkeluar dari badan. Setitis demi setitis air mata menuruni di celah pipiku. Ya, Allah. Besar ujian ini untuk aku, apatah lagi buat kaum keluarganya.

"Sahabat, khabarkan tentang keberadaanmu di mana." Aku terus menerus mengharap dan berdoa agar Allah memudahkan urusan pencarian pesawat yang hilang itu.

 “Maafkan aku sebab hilangkan layang-layang kau dahulu, tapi janganlah kau pula yang hilang saat kau terbang ke langit.” Aku mengesat tangis. 

Pagi itu aku diselubungi kesedihan. Matahari pula sudah mula membakar. Heningnya buat aku bertambah muram. Zed pernah pesan pada kami. Katanya, "Harapan itu sentiasa ada seperti mana terbitnya matahari pada setiap pagi, selagi matahari terbit, selagi itu harapan itu masih ada."

Begitulah harapan aku pada Zed. Sama seperti terbitnya matahari di setiap pagi.

Aku duduk di atas kerusi di hadapan rumah. Kertas putih yang berada di atas meja aku capai lalu menulis sesuatu.

Pesanmu padaku janganlah berduka, jangan menangis bilaku tiada…
Aku mencuba…
MH370 cepat kembali, bawa Zed pulang.

Kertas dilipat-lipat menjadi kapal terbang kertas. Aku baling sekuat hati.

“Zed… kau hebat, sebab itu Allah pilih kau untuk perkara yang hebat. Ujian kau juga  hebat. Itulah kehebatan kau yang kau tanya pada aku.” Aku terus melihat langit pagi itu.


“Sebenarnya, ada sesuatu yang hendak aku katakan…”